Sunday 8 November 2015

SASTERAWAN FELDA- Ramli Daud meninggal dunia

Ramli Daud seorang pengarang Perak dan pernah menjadi AJK Karyawan Pk meninggal dunia pada pagi Isnin ini (5 Oktober 2015) terjatuh dari motorsikal yang dipandunya ke masjid utk menunaikan solat subuh. Jenazahnya dibawa ke hospital Tapah untuk bedah-siasat dan kemudian akan dikebumikan di Felda Sg. Klah, Sungkai, hari ini juga. Bagi pihak Karyawan Pk, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Al-Fatihah

BELASUNGKAWA: MENGENANGI MOKHTAR MIMI



 oleh HJ ZABIDIN ISMAIL

Pada tanggal 25 Mac 2008 seorang penulis Perak yang terkenal dengan nama Mokhtar Mimi telah kembali ke rahmatullah setelah diserang penyakit jantung. Rakan karib semasa menubuhkan Grupemuisi Sitiawan dan kemudiannya Persatuan Penulis Daerah Manjung (PEDOMAN) sekitar tahun 80-an lalu kini telah pergi meninggalkan keluarga dan dunia penulisan yang dicintainya.

    Kesempatan bergaul dengan Mokhtar Mimi beberapa tahun ketika saya bertugas di Sitiawan, barangkali dapat merakamkan cebisan pahit getir rencah-rencah kehidupannya sehingga beliau menapak sebagai tokoh penulis yang berketrampilan untuk jangka masa tertentu di negeri Perak Darul Ridzuan.

            Nama sebenarnya ialah Ahmad Mokhtar bin Mohd. Lahir di Kampong Telaga Nenas, Ayer Tawar, Perak pada tanggal 28 Oktober 1945. Menerima pendidikan Melayu dan Inggeris di Sitiawan sebelum melangkah ke kancah kerjaya sebagai anggota tentera. Ketika bertugas di Sabah pada tahun 1966, minatnya timbul untuk menulis. Beliau memulakan penulisannya dengan cerpen Rintihan yang tersiar  dalam akhbar Daily Express. Sesudah itu, akhbar berkenaan menyiarkan beberapa lagi cerpennya secara berturut-turut antaranya; Nantikan Aku Pulang, Leman Gilakan Anak, Nadanya disambar Sedu Pahit dan Ribut Di Gamumu.

            Bakat Mokhtar Mimi bukan sahaja dalam penulisan cerpen tetapi melebar ke genre puisi dan drama pentas. Puisi-puisi beliau sekitar tahun 1966-1967 mendapat tempat di akhbar Daily Express dan Sabah Times. Di Negeri Di Bawah Bayu itulah beliau banyak menempa sejarah. Di Tawau misalnya, Mokhtar buat pertama berlakon dalam teater pada tahun 1968 dengan memegang watak wira bergelar “Swastika” dalam drama Sangkar Madu karya Bakhtiar Sigian Kemudian pada tahun yang sama, berhasil pula dengan skrip drama pentas; Badai Meniti Senja sekaligus terbabit sebagai pengarah keseluruhan (overall director) ketika menjayakan pementasan “Malam Minggu Perpaduan” atau “Solidarity Week”.

            Empat tahun kemudian, Mokhtar Mimi berpindah ke Pahang. Bakat penulisaan yang terpupuk di Sabah dilebarkan pula ketika menganggotai Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP). Di sini beliau berjaya menggabungkan empat kuntum puisinya bersama-sama karya penulis Pahang dalam sebuah antologi berjudul Suara dan Bicara (1973). Manakala puisinya; Tak Ke Mana terpilih menghiasi buku cenderamata “Malam Usik-Mengusik” anjuran DPMP.  Semasa di Temerloh, Mokhtar Mimi berhasil menulis drama pentas Surat Dari Perbatasan di samping mengarah drama Yang Pulang karya Mohd. Isa sempena Hari Wanita yang dipentaskan di Dewan Majlis Bandaran. Sewaktu di Kuantan pula, beliau bergiat menulis bersama-sama rakan penulis seperti Badarudin M Z , Tengku Aliyuddin (kini: Dato’) dan Smad Malaya.
            Apabila bertugas di Sarawak, Mokhtar Mimi sempat menghasilkan skrip drama Merah Bersemi Di Hujung Jari sekaligus sebagai pengarah (1975). Pada tahun 1976 menghasilkan Hatinya Kasihnya Kembara Jauh tetapi tidak sempat dipentaskan meskipun ada rancangan awal untuk mementaskannya di Kuching. Sekembainya ke Semenanjung, Mokhtar ditempatkan di Kor Jurutera Elektrik dan Jentera, Taiping dan sebelum bersara pada tahun 1981 dengan pangkat Sarjan.

            Semenjak tahun 1976 dia semacam pamit daripada alam penulisan. Namun apabila Mokhtar Mimi menjalani penghidupan sebagai seorang pesara sekaligus pengusaha restoran, minatnya untuk menulis timbul kembali. Pada tahun 1983 bersama-sama rakan penulis seperti Bahar Suhardi, Yus Saadon, Zain A R, Ros M Y dan saya berjaya menubuhkan Grupemuisi Sitiawan.

            Melalui grup inilah Mokhtar Mimi menjuruskan penulisan sajak semata-mata. Sajak-sajak yang kebanyakannya bertemakan kemanusiaan dan alam banyak tersiar di serata akhbar dan majalah tempatan seperti Dewan Sastera, Mastika, Al Islam, Sinar Zaman, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Utusan Zaman, Mingguan Wanita, Mingguan Famili, Mingguan Perdana, Nona, Jelita dan sebagainya. Apabila grup ini dibubarkan pada tahun 1986 bagi memberi laluan penubuhan Persatuan Penulis Daerah Manjung (PEDOMAN), Mokhtar Mimi terbabit bersama-sama Mustapha Mat Ani (mantan Wartawan Utusan Malaysia Manjung), saya, Bahar Suhardi dan Ros M Y bersusah-payah menyediakan perlembagaan serta jawatankuasa penaja selama beberapa bulan dan dia kemudiannya dilantik dalam mesyuarat agung pertama PEDOMAN sebagai Ketua Satu hinggalah pada tahun 1990-an. (Setelah saya bertukar ke Teluk Intan pada tahun 1989, kegiatan PEDOMAN tidak lagi rancak. Beberapa tahun kemudiannya saya dimaklumkan bahawa badan penulis tersebut telah dibatalkan pendaftarannya oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan).

            Selaku Ketua Satu PEDOMAN, Mokhtar Mimi secara automatik menduduki Jawatankuasa Induk  Ikatan Persatuan Penulis Perak (IPPP) kerana PEDOMAN bergabung dalam badan tersebut. Ini secara tidak langsung melebarkan kegiatan sastera dan penulisan Mokhtar Mimi di Perak.  Pembabitan yang  cergas ini telah menarik perhatian masyarakat tempatan khususnya di daerah Manjung dan “menyorong” Mokhtar supaya aktif di bidang lain selain penulisan.

            Hakikatnya, Mokhtar mula bergiat dalam banyak kegiatan. Misalnya pada tahun 1986 dilantik menjadi Naib Pengerusi Penaja Persatuan Pengkaji dan Peminat Sejarah Daerah Manjung, Naib Pengerusi II Majlis Kebudayaan Daerah Manjung serta terpilih sebagai Ketua UMNO Cawangan Kg. Telaga Nenas. Pada tahun 1989 pula Mokhtar dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Lumut.

            Dia juga terbabit memberikan ceramah penulisan di sekolah, badan-badan penulis serta untuk beberapa tahun semenjak tahun 1987 menjadi pengadil Pertandingan Drama Antara Sekolah-sekolah Daerah Manjung anjuran TV3 di samping hakim Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan anjuran Jabatan Penerangan saban tahun.

            Dalam kesibukan tugas-tugas kemasyarakatan itu, Mokhtar sempat menghasilkan sejumlah 100 kuntum puisi yang tersiar di media cetak. Sebahagian puisinya termuat dalam antologi; Beruas Dalam Puisi (1986) terbitan PEDOMAN dan Bacaria, Bunga Gerimis (1986-Fajar Bakti) dan Mengenang-Mu (1989-DBP). Kemuncak segala kejayaan yang diperolehinya ialah pengiktirafan Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan apabila beliau dinobatkan sebagai “Penyair Darul Ridzuan” (1987) dengan menerima watikah, cenderamata dan wang tunai RM 500.00.

            Namun semenjak menerima anugerah tersebut, Mokhtar semacam pamit dari alam penulisan. Dia kurang menumpukan perhatian dalam penciptaan karya, sebaliknya menalih selera kepada pembangunan kampung dan masyarakat desa kelahirannya. Berkat usaha yang tidak jemu-jemu membangunkan Telaga Nenas – 40 km dari Sitiawan, pada tahun 1992 kampung tersebut terpilih sebagai Kampung Terbaik dan Terbersih peringkat daerah Manjung dan tempat kedua peringkat Negeri Perak. Menerusi wang peruntukan kemenangan, Mokhtar membina dua buah chalet  di pinggir Sungai Dinding  berhampiran kampungnya dengan diberi nama “Melan Village Resort”.

            Pembinaan chalet ini bertujuan untuk menarik lebih ramai pelancong mengunjungi Sungai Dinding yang mengalir lesu serta menyembunyikan banyak artifak sejarah dan panorama alam semula jadi yang mengasyikkan. Di sepanjang tebig Sungai Dinding ini menyimpan banyak pahit getir sejarah silam. Antaranya Kota Raja Hitam dan Kota Siam, Keramat Telaga Tujuh serta tapak Kerajaan Melayu Manjung pada abad ke 16.

            Mokhtar yang memakai nama pena “Mimi’ ini kebetulan mengambil sempena nama bahagian tempat mula dia bekerja dalam Angkatan Tentera Malaysia iaitu EME (Electrical and Mechanical Engineering) dalam arena penulisan semacam sudah bersara. Sajaknya; Moga-moga (Al Islam 1985: September) memperlihatkan benih-benih persaraan itu:

            …sebelum penentuan ini Ya Allah
            terimalah permohonan
            makhluk-Mu
            yang bernama seorang aku
            masuk ke dalam negeri
            taubat-Mu
            melalui pintu yang sentiasa
            terbuka.

            Jelas, Mokhtar Mimi membayangkan dia seakan-akan mahu mengabdikan diri kepada Allah Azawajalla secara lebih intim. Apakah dia sudah menemui jalan kudus itu seolah-olah melupakan pula dunianya – berpuisi? Namun apa juga keberangkalian, ketrampilan Mokhtar dalam banyak bidang memang diakui ramai, lebih-lebih lagi masyarakat di daerahnya – Manjung, kerana pencapaian itulah pada 19 April 1993 beliau dianugerahkan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) oleh Sultan Perak sebagai mengenang jasa-jasanya.

             Semenjak awal 90-an Mokhtar tidak lagi menulis. Namun sesekali beliau muncul sebagai hakim pertandingan penulisan atau pembaca puisi jemputan bagi acara rasmi Kerajaan seperti sambutan Hari Kebangsaan. Namun kini Mokhtar Mini telah tiada. Dia kembali ke sisi Tuhan buat selama-lamanya hanya dengan  meninggalkan  sejumlah  puisi rindu  yang belum lagi  dibukukan. Semoga Allah menucucuri rahmat ke atas rohnya. Al fatihah  buat  Allahyarham.

Rujukan:
Khairul Anuar Mokhtar 1993. “Mokhtar Kecewa digelar Penyair Bermusim” (Berita Minggu, April 25 hlm. 22)
Tarik Pelancong Saksikan Keindahan Sungai Dinding 1993 (Utusan Malaysia, Mei 28 hlm. 4
Zabinis BM 1986. “Pedoman Lahir Bertunjangkan Semua Kaum” (Mingguan Perdana, April 25 hlm.13)
Zabidin Haji  Ismail 1986. “Mokhtar Cari Ilham Sambil Layan Pelanggan” (Berita Harian, Mac 6 hlm.9 )
_______1993. “Mokhtar Mimi Penyair Bermusim” (Berita Minggu, Januari 10 hlm. 22)
_______1993. “Mokhtar Penyair Darul Ridzuan” (Utusan Malaysia, Dis. 26 hlm. 24
_______1993. “Mokhtar Mimi” (Sinar Zaman, Nov-Dis. Hlm. 12-13)

Tuesday 3 November 2015

MALIM GHOZALI PK - Sasterawan Perak Ke-3

Malim Ghozali PK ialah nama pena Mohamed Ghozali bin Haji Abdul Rashid telah dinobatkan oleh Kerajaan Negeri Perak sebagai Sasterawan Perak ke-3 selepas Suhaimi Haji Muhammad (1987), Mana Sikana @ Dr Abdul Rahman Hanapiah (2004) pada 13 Disember 2014 sempena majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-4  (HSDR4) di Pulau Pangkor.  Beliau menerima watikah, tropi dan cek bernilai RM50K daripada YAB Dato Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan.  Anugerah Sasterawan Perak  adalah pengiktirafan tertinggi Kerajaan Perak kepada para pengarang anak Perak yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam menghasilkan karya kreatif bermutu tinggi dalam bidang persuratan dan kesusasteraan Melayu.
 Di samping itu, Malim juga merupakan penerima S.E.A Write Award tahun 2013 yang ke-35 sejak anugerah tersebut diwujudkan pada tahun 1979.
 Beliau dilahirkan pada 4 Mac 1949 di Kampung Malim Nawar, Perak. Malim Ghozali PK mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Anderson, Ipoh, Perak sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian Kelas II Atas) dalam bidang Pengajian Melayu/Antropologi Sosial dari Universiti Malaya pada tahun 1973. Beliau juga mempunyai Sijil Pentadbiran dan Pengurusan Tanah, Institut Tadbiran Awam Negara (1974) dan Diploma Lepasan Ijazah dalam bidang Pentadbiran Pelabuhan dan Perkapalan dari Universiti Wales, United Kingdom (1978).
Malim Ghozali PK berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik selama 21 tahun sebelum bersara pilihan pada 1 April 1994 dengan jawatan terakhirnya sebagai Pengarah Hubungan Antarabangsa, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Semasa masih berkhidmat, beliau pernah menyandang pelbagai jawatan seperti Penolong Pegawai Daerah Slim River, Perak (1975-1976), Ketua Imigresen Wilayah Selatan (1978-1981), Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Johor (1981-1983) dan Pengarah Latihan Jabatan Tenaga Rakyat (1984-1987). Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Lembaga Pelesenan Perkapalan Malaysia yang pertama. Kini, beliau dilantik sebagai Felow Penyelidik Kanan di Institut Darul Ridzuan, Ipoh, Perak di samping menjadi pensyarah sambilan di Fakulti Penulisan Kreatif,  Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang Bengkel Terjemahan Karya Dramatik Inggeris dan Seminar Cereka.
Malim Ghozali PK menulis dalam semua genre sastera seperti novel, cerpen, puisi, dan esei. Namun, kekuatan beliau nyata terserlah dalam genre novel dan cerpen. Karya beliau banyak memenangi hadiah sayembara pada peringkat kebangsaan. Antaranya Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan – Public Bank, Hadiah Sastera Berita Publications dan Hadiah Sayembara ESSO-GAPENA V.
Malim Ghozali PK menghasilkan kumpulan cerpennya yang pertama, Usia pada tahun 2006. Kumpulan cerpen keduanya pula Ini Chow Kit Road, Sudilah Mampir! menyusul pada tahun 2008. Kekuatan Malim Ghozali PK dalam genre cerpen nyata terserlah apabila cerpen beliau banyak memenangi hadiah antaranya cerpen “Sepanjang Lorong Mimpiku” yang tersiar dalam majalah Dewan Budaya dan telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 bagi kategori cerpen eceran. Cerpen “Tukang Sepatu dan Sahabat dari Bukit”, “Di Pagi Syawal Apakah Yang Kaucari” dan “Ini Chow Kit Road, Sudilah Mampir” masing-masing memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil pada tahun 2007, 2008 dan 2009. Malim Ghozali PK juga pernah muncul sebagai pemenang Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985 melalui cerpen “Redang”, Hadiah Sastera Malaysia 1986/1987 melalui cerpen “Sayang Ottawa Sungainya Sejuk” dan Hadiah Sastera Malaysia 1988/1989 melalui puisi “Musim Mencari Kristal”.
Sehingga kini, Malim Ghozali PK telah menghasilkan tiga (3) buah novel, tiga (3) kumpulan puisi dan dua (2) kumpulan cerpen perseorangan. Novel Redang dan Janji Paramaribo terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dihasilkan pada tahun 1989 dan 1990. Redang telah diadaptasikan kepada drama tv oleh Aziz HM dengan judul Ipin selain dipentaskan beberapa kali. Novel Daun pula telah memenangi  Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 bagi kategori novel.
Selain menulis karya kreatif, Malim Ghozali PK juga menghasilkan kajian akademik. Antaranya termasuklah The Profound Truth: Understanding Perfection (2006) yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan judul Kebenaran Mutlak: Memahami Kesempurnaan, Traffic Separation Schemes in the Straits of Malacca, Images – Anderson School 1909-2009, Kampung-kampung Tersohor di Sepanjang Sungai Perak dan Mendayung ke Muara…Cabaran-cabaran Mutakhir dan Mendatang.
Malim Ghozali PK prolifik menterjemahkan karya sastera dan akademik termasuklah karya Sasterawan Negara ke dalam bahasa Inggeris dan juga karya penulis luar ke dalam bahasa Melayu. Novel Janji Paramaribo telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Promises of Paramaribo dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Beliau turut menterjemahkan karya Mana Setangginya karya SN Noordin Hassan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Franckincense dan Imam karya SN Abdullah Hussain.
Malim Ghozali PK pernah mengikuti program Fellowship Penulisan Kreatif di Virginia Centre For Creative Artistes, Virginia, Amerika Syarikat pada tahun 1989 dan hasilnya beliau berjaya menyiapkan novel pertamanya Janji Paramaribo. Beliau juga pernah mengikuti Program Penulisan Antarabangsa IOWA di  University of IOWA, Amerika Syarikat pada tahun 2007. Selain itu, Malim Ghozali PK juga dilantik sebagai pembimbing penulisan cerpen mewakili Malaysia dalam Bengkel Penulisan yang dianjurkan oleh Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) di Bogor, Indonesia pada tahun 2008. Beliau juga aktif membentangkan makalah di dalam negara dan di luar negara di samping memberikan ceramah tentang al-Quran. Beliau juga mengendalikan ruangan “Sains dan al-Quran” dalam majalah Sinar Dakwah dan ruangan pojok “Minda Malim” dalam akhbar Suara Perak.

Monday 28 January 2013

MANA SIKANA SASTERAWAN PERAK KE-2



Oleh Zabidin Haji Ismail

Mana Sikana atau Abdul Rahman Hanapiah dinobatkan sebagai Sasterawan Perak oleh Kerajaan Negeri di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Raja Azlan Shah pada 23 Jun 2004 .

Beliau merupakan pengarang anak Perak yang kedua diiktiraf sebagai Sasterawan Perak selepas Suhaimi Haji Muhammad (1987). Pengiktirafan ini sesungguhnya amat besar ertinya kepada Mana Sikana kerana dilihat Kerajaan Negeri cukup berhati-hati dalam memilih penerima watikah, apatah lagi majlis penyempurnaannya jarang-jarang diadakan[1].

Mana Sikana berasal dari Bagan Serai berketurunan Banjar yang dilahirkan pada 9 Oktober 1945 mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan, Bukit Chandan, Kuala Kangsar hingga lulus darjah VI (1954-1959). .  Beliau menyambung pelajaran seterusnya ke Sekolah Izzudin Shah, Ipoh (1959-1966). Pada tahun 1965 Mana Sikana lulus Sijil Pelajaran Malaysia pangkat dua. Pada tahun 1966 pula dia ke Syahadah Agama Tinggi Perak sebelum ke Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur (1967-1968) dengan memperoleh Dilploma Pendidikan; Bahasa Melayu dan Geografi.

Pada tahun 1973 Mana Sikana lulus penuh Sijil Tinggi Persekolahan (STP) yang melayakkan beliau menyambung pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekitar 1974-1978 atas pembiayaan biasiswa UKM dan berjaya meraih Sarjana Muda Persuratan Kelas Pertama. Kemudian dia meneruskan pendidikan sarjana (1980-1981) dan menerima ijazah doktor falsafah (PhD) pada tahun 1991.

Sejarah Kerjaya

Selepas tamat pengajian di Maktab Perguruan Bahasa, Mana Sikana diterima menjadi guru mulai tahun 1969 hingga tahun 1974. Antara sekolah yang beliau berkhidmat sebagai pendidik ialah Sekolah Menengah Laksamana Kota Tinggi, Johor serta tiga buah sekolah di Johor Bahru iaitu Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Sekolah Menengah  Rendah Tasik Utara dan Sekolah Menengah Gelang Patah.

Kerjaya kedua yang disandang oleh Mana Sikana selepas guru ialah pensyarah. Beliau mula bekhidmat sebagai tutor pada tahun 1981 dan telah berkhidmat sebagai pensyarah sastera Melayu moden di beberapa buah universiti termasuk di UKM dan Tekonologi Nanyang, Singapura. Kini beliau bertugas di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.


 Sepintas lalu latar belakang kepengarangannya

Mana Sikana mula menulis pada sekitar tahun 60-an dan pernah memenangi hadiah cerpen; Kawan yang Berbudi dan yang Berduri bernilai seratus ringgit menerusi Berita Harian pada tahun 1964. Kemenangan ini telah menggalakkan Mana Sikana untuk menulis karya sastera, bukan hanya cerpen tetapi melebar genre lain seperti rencana dan kritikan drama.

            Pada peringkat awal dalam arena drama, Mana Sikana menghasilkan skrip drama berjudul Anak-anak Jahanam  (1965) di samping bergiat dalam bidang lakon pentas. Di sekolah, drama pentas  Ashah al-Kahfi (dalam bahasa Arab) dan The Fish (dalam bahasa Inggeris) karya gurunya adalah di antara drama yang pernah dilakonkan.

            Di sekolah, selain berjinak-jinak dengan alam penulisan, Mana Sikana terbibit pula dengan aktiviti berbentuk penulisan yang menyuburkan minatnya tentang kepengarangan. Misalnya, dia pernah dilantikan sebagai Ketua Pengarang majalah sekolah, Pengerusi Persatuan Bahasa dan Persuratan Melayu serta menjadi pembahas dan pemidato dalam beberapa pertandingan bahas dan pidato sekolah-sekolah menengah di Perak.

            Kemudian, semasa mengajar di Johor, Mana Sikana terus mengembangkan bakat dalam penulisan skrip drama radio dan TV yang dikirimkan ke Radio Singapura secara serius[2].  Sewaktu di pusat pengajian tinggi, Mana Sikana mula menulis karya kreatif sama ada cerpen atau skrip drama yang bercorak intelektual dan  eksprimental sifatnya.

Hal ini adalah hasil kritikan membina daripada gurunya seperti Dr Muhammad Haji Salleh, Ramli Isin, Bill Watson dan Dr Ungku Maimunah yang sekaligus memberikan perangsang kepadanya untuk menulis esei dan kritikan.

            Lantaran itu Mana Sikana lebih tersohor dalam bidang kritikan sastera  yang ditukanginya secara serius, analitikal, spesifik dengan analisis yang berlandaskan pengetahuan mendalam tentang teori-teori kesusasteraan.

Karya yang dihasilkan

Mana Sikana menulis dalam banyak genre sastera kreatif serta kertas penyelidikan tentang kesusasteraan Melayu moden. Selaku pengarang dan pengkaji, Mana Sikana seorang pengkarya yang prolifik, tepu dengan falsafah dan pemikiran kontemporari dalam karya-karya kreatif yang dihasilkan.

            Umpamanya, drama berjudul Pasir-pasir di Pasir Salak yang dipentaskan baru-baru ini mengajak penonton memikirkan falsafah yang tersirat dalam peristiwa pembunuhan JWW Birch pada 2 November 1875 di Pasir Salak. Mana  Sikana mentafsir perisitiwa itu dengan pelbagai dimensi bertolak daripada sifat-sifat Melayu, tindak-tanduk penjajah, nasionalisme, kronisme serta bibit-bibit kapitalisme yang mula menular dalam kalangan masyarakat setempat.

            Drama yang sarat dengan falsafah ini memperlihatkan kemampuan Mana Sikana mentafsir sejarah secara bebas, kemudian menghidangkan kepada penonton untuk dikunyah atau dimamah; dan inilah kepakaran Mana Sikana dalam menukangi teater.

Cerakinan karya Mana Sikana
Novel
Antologi Drama
Buku Kajian Kesusasteraan
Antologi Cerpen
Esei Kritikan Eceran
Novel Remaja
Kajian Sastera Eceran

4

3

48

4

113

5

10

Antara karya beliau ialah empat kumpulan cerpen berjudul Santau (1982), Jejak Yang Hilang (1984), Abzyx (1986) dan Nusia (2002). Bagi drama telah terhasil kumpulan berjudul Apa-Apa (1982), Tok Awang (1984) dan Hikmah (1998). Antara novel yang dihasilkannya ialah Ronjang (1984), Kesesatan (1987), Klimak (1989) dan Syajar (1996).

Mana Sikana banyak sekali menghasilkan buku kajian sastera, antaranya; Teras Sastera Melayu Moden (1982), Esei-esei Kesusasteraan (1983), Kritikan Sastera: Kaedah dan Aplikasi (1986), Di Sekitar Pemikiran Drama Moden (1989), Teori Sastera Moden (1990), Drama Melayu Moden (1996), Teori dan Kritikan Sastera Pascamodenisme (1998), Sastera Pascamodenisme Melayu (2002) dan Teori dan Kritikan Sastera (2002).

            Jumlah keseluruhan buku yang telah dihasilkan oleh Mana Sikana melebihi 100 buah.

Pelopor Absurdisme

Mana Sikana adalah pelopor cerpen aliran absurdisme dalam sastera Melayu. Aliran tersebut dapat dikesan melalui cerpen-cerpennya berjudul Fakurdabakia, Hipokondriakal, Aqula dan Maaj.

Sebelum kemunculan aliran absurdisme, kebanyakan aliran cerpen Melayu di Negara ini dibebani dengan aliran realisme yang dihasilkan oleh Shahnon Ahmad, Anuar Ridhuan dan Othman Puteh. Selain meneroka absurdisme, Mana Sikana juga memugar aliran surealisme dan eksistensialisme.

            Semua novel yang dihasilkan Mana Sikana bersifat anti-realisme sebaliknya mengetengahkan aliran absurdisme, metahistiriografik dan realism magis.

            Transformasi yang dilakukan Mana Sikana dalam karyanya adalah hasil daripada kursus penulisan kreatif yang diikutinya di UKM, menterjemahkan teks-teks cerpen James Joyces dan Franz Kafka serta hasil pembacaan karya Albert Camus, Allain Robbe Grilett, Iwan Simatupang, Putu Wijaya dan Ariffin C. Noer.

            Mana Sikana mentranformasikan absurdisme Barat yang tidak berhubungan dengan agama dan manusia itu, telah diislamisasikan dengan menghasilkan teks-teks Islam.

            Di samping itu, Mana Sikana menulis dan mementaskan drama di sekitar tahun 1970-an dalam kebangkitan surealisme di Malaysia yang membariskan namanya sebaris dengan rangkaian lima dramatis waktu itu; Nooordin Hassan, Dinsman, Hatta Azad Khan dan Johan Jaaffar.

Pencipta Teori Sastera

Dalam kebangkitan teori sastera tempatan ekoran kebanjiran teori Barat, Mana Sikana menerobos fenomena itu dengan mencipta teori sastera teksdealisme pada tahun 1992.  Dia  mencipta teori tersebut kerana beberapa hujah yang disimpulkan seperti berikut;

            “Tidak terelakkan dunia sastera dan pendidikan kesusasteraan, kini sangat menuntut pengaplikasian teori atau beberapa teori. Khasnya, di Barat, penguasaan teori sudah dianggap wajib. Justeru teori menjadi landasan penelitian dan pengajian teks-teks kreatif. Di tanah air kita juga halnya sedemikian. Sebuah kritikan tidak akan dianggap sebagai kritikan, seandainya tanpa penerapan teori. Tugasan dan penulisan tesis pula bukan sahaja dituntut penjabaran teori itu, malah menggunakannya secara eklektikal, iaitu dengan mengkombinasikan beberapa teori untuk menjadi kerangka kerja akademik. Justeru itu beberapa buah universiti di tanah air kita, juga maktab-maktab perguruan menyediakan kursus pendekatan dan teori sastera.”
(Mana Sikana, Teori Sastera Kontemporari, hlm. Xi)

Teori sastera teksdealisme  telah diajar di beberapa buah pusat pengajian tinggi.  Sudah banyak latihan ilmiah dan tesis sarjana di UKM yang menggunakan teori tersebut. Begitu juga di Universiti Malaya (UM) terdapat dua orang pelajar sarjana menggunakan teori ini, manakala di Singapura ada pelajar sarjana dan kedoktoran telah menggunakan teori ini untuk penulisan tesis mereka.

            Sementara itu dalam kebangkitan sastera berunsur Islam di sekitar tahun 1970-an, Mana Sikana turut menyumbangkan pemikiran; dan oleh kerana banyak teks kreatif Islam dicipta menggunakan kaedah dan pendekatan sastera Islam, akhirnya pendekatan tersebut berkembang menjadi teori sastera yang dinamakan teori sastera taabudiyah. Teori ini dicipta pada tahun 1986 dan seperti teksdealisme, ia juga digunakan untuk kerja-kerja akademik, latihan ilmiah dan tesis.

            Kedua-dua teori tersebut sedang dalam proses penerbitan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang masing-masing berjudul Teori Sastera Teksdealisme dan Teori Sastera Taabudiyah; merupakan buku terkini Mana Sikana.

Pengembang teori moden dan pascamoden

Mana Sikana bertanggungjawab mengembangkan teori dan kritikan sastera di Malaysia. Ini sesuai kerana beliau mengajar pendekatan, kritikan dan teori sastera di universiti.

Daripada teori moden ke pascamoden; daripada strukturalisme  ke semiotik hingga teori budaya dan teori sastera-eko telah beliau kembangkan melalui pengajaran, penulisan kritikan dan penghasilan buku-buku teori sastera[3].

Pelopor Kajian Drama

Mana Sikana juga terkenal sebagai pengkaji drama dan teater. Drama adalah bidang pengkhususan kajian dari peringkat sarjana muda hingga ke doktor falsafah. Semasa beliau mula memasuki kajian drama, waktu itu boleh dikatakan tidak ada kajian tentang drama Melayu dilakukan. Banyak esei, kritikan, buku laporan penyelidikan dan kajian tentang drama yang beliau hasilkan.

            Dalam bidang teater, banyak menghasilkan skrip dan terlibat dengan pengarahan dan pementasan. Untuk sekian lama menjadi panel drama dalam pertandingan menulis skrip dan pementasan Pekan Teater.

            Kini buku kajian dramanya menjadi rujukan di semua universiti termasuk Brunei, Singapura dan Indonesia. Malah bidang drama sekarang telah menjadi popular sama tarafnya dengan bidang kajian fiksyen dan puisi.

Nama Pena

Mana Sikana memiliki banyak nama pena yang digunakan sewaktu pada peringkat awal kegiatan penulisannya seperti Abd Rahman M.S; Anakis Anam, Reihman M.S; Ustaz Abd. Rahman al-Mana @ al-Senawari.

            Walau bagaimanapun, nama Mana Sikana lebih dominan dan menjadi sinonim dengan diri beliau dan masyarakat sastera serta  pembaca karyanya amat mengenali nama ini berbanding dengan nama sebenarnya.


Anugerah dan Panel Sastera

Sepanjang penglibatan Mana Sikana dalam dunia penulisan tanah air, beliau telah banyak meranggul hadiah dan anugerah. Beliau pernah memenangi anugerah Seri Angkasa bagi skrip drama radio dan Tv terbaik (1973), Penulis Terbaik Dewan Sastera (1978), Hadiah Sastera UKM (1978), Hadiah Sastera Nasional untuk cerpen dan kritikan sastera (1978 dan 1982).

            Di samping itu, beliau juga menerima Medal Watan Perak Cemerlang (1999), Ahli Mangku Perak (2000) dan Anugerah Sasterawan Perak (2004).

            Selain meraih hadiah dan anugerah, Mana Sikana terbabit juga dalam panel sayembara menulis skrip drama, cerpen dan novel serta anggota panel Hadiah Sastera Sabah, Hadiah Sastera Perdana, Hadiah Sastera MASTERA dan Sea Write Award. Di Singapura, beliau turut terpilih menganggotai panel juri Hadiah Sastera anjuran republik tersebut.
           
Penutup

Mana Sikana nama yang tersohor sebagai pengarang, pengkaji sastera serta pelopor beberapa teori sastera di Malaysia. Dan sumbangan terbesar beliau ialah mengislamisasikan teori-teori sastera Barat yang kini banyak dimanfaatkan di beberapa buah universiti tanah air.


Rujukan

Mana Sikana 2005. Teori Sastera Kontemporari. Bangi, Selangor: Pustaka             
               Karya
Mohd Thani Ahmad dll (pyn) 1988. Wajah Biografi Penulis. Kuala Lumpur:  
               Dewan Bahasa dan Pustaka
Zabidin Hj Ismail, Biografi Penulis Perak (belum terbit)




[1]  Majlis Anugerah Penulis Perak yang pertama dilangsungkan pada tahun 1987 kemudian pada tahun 1995 dan terakhir 2004. Kedua-dua majlis (1987 dan 1995) disempurnakan oleh Tan Sri Ramli Ngah Talib mantan Menteri Besar Perak. Majlis penganugerahan pada tahun 1995 tidak memilih “Sasterawan Perak” sebaliknya memberikan anugerah kepada para penulis anak Perak  yang berasaskan genre penulisan.
[2]  Skrip drama radio sebanyak 200 buah manakala skrip drama TV kira-kira 30 naskhah.
[3]   Sebuah buku yang mengumpulkan semua teori sastera daripada klasik, moden ke pascamoden, juga teori tempatan akan diterbitkan oleh Utusan Melayu. Ia sangat tebal dan dalam proses penerbitan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...