Saturday 25 June 2011

RATNA LAILA SHAHIDIN

Dilahirkan pada 20 Mac 1966 di Lenggong, Perak dalam keluarga petani. Dia mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Banggol Belimbing, Lenggong. Kemudiannya mendapat tawaran kelas Rancangan Khas di Methodist Girl School Ipoh. Sebaik sahaja tamat tingkatan lima, dia mengikuti pengajian tingkatan enam di Sekolah Menengah Clifford Kuala Kangsar.

Pada tahun 1986-1989, dia menyambung pengajian di Universiti Malaya dalam jurusan Penulisan Kreatif dan Deskriptif. Akibat kemelesetan ekonomi pada tahun-tahun tersebut, dia mengambil keputusan untuk menyambung pengajian Diploma Pendidikan di Institut Pendidikan Bahasa Antarabangsa (dulunya Institut Bahasa) Lembah Pantai pada tahun 1990. Kemudian, pada tahun 1998, berjaya memperoleh sarjana dalam bidang Sains Pengurusan (Msc. Management) dari Universiti Utara Malaysia.

Ratna pernah bertugas sebagai wartawan di Amir Enterprise dan editor di Penerbitan Fajar Bakti sebelum memulakan karier sebagai guru di Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan. Pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan selama sepuluh tahun dan kini sebagai pensyarah di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Raja Melewar Seremban.

Cetusan awal menulis

Mula menulis sejak bersekolah rendah dalam majalah Bujal dan Utusan Pelajar. Meskipun hidup dalam kepayahan, hadiah ayahnya berupa mesin taip terpakai telah memberikan semangat untuk beliau menulis. Sejak kecil emaknya selalu bercerita saban malam sebelum melelapkan mata. Kesemua elemen tersebut telah menyuburkan minatnya untuk bercerita melalui mata pena.

Pada tahun 1984, beliau menjadi ahli seumur hidup Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS). Manakala perkenalan dengan penulis, Noriah Sharif telah membuka ruang dan peluang mengikuti aktiviti teater dan berpuisi di daerah Kuala Kangsar.

Mempunyai dua puteri yang masing-masing sedang menuntut di instituisi pengajian tinggi. Menulis memang menjadi minat utama didorong oleh pengalaman zaman anak-anak di tahun-tahun 70-an yang langgas dan mudah. Setelah berkahwin, suaminya memberi galakan untuk terus menulis meskipun sangat berbeza latar belakang pendidikan dan kerjaya.

Emaknya, Absah @ Mariam Shary tidak pernah ke sekolah kerana pandangan tradisi zaman yang tidak memberatkan anak perempuan ke sekolah. Namun beliau telah mencetuskan minat mendalam terhadap sastera dan seni kerana setiap malam sebelum tidur, beliau akan bercerita tentang cerita-cerita rakyat. Ratna tidak boleh tidur tanpa cerita dari emaknya. Arwah ayahnya, Shahidin Hj Mat Dom pula seorang guru permainan hadrah yang sering mencipta lagu berunsur ketuhanan. Gabungan kedua-duanya telah mencetuskan minat Ratna terhadap keindahan seni sastera.


Anugerah yang pernah dimenangi

Ratna pernah memenangi hadiah utama kategori puisi Hadiah Sastera Utusan tahun 2000 dengan puisi “Keberangkatan Ayah”. Puisi tersebut telah diantologikan dalam antologi sajak berjudul Lelaki Dengan Sebilah Pedang Tajam. Kemudiannya pada tahun 2010, puisi tersebut telah dimasukkan dalam antologi Madu Ilmu bagi subjek Kesusasteraan Melayu Tingkatan 4 dan 5.

Puisi Keberangkatan Ayah merupakan cetusan ceritera sedih yang melingkari hidup tatkala tiba-tiba ayahnya dijemput pergi mengadap Sang Pencipta.

Berikut merupakan ulasan panel hakim yang terdiri daripada Dr Othman Puteh (Pengerusi), Prof Madya Rahman Shaari, Prof Madya Amida @ Hamidah Abdul Hamid, Puan Mahaya Mohd Yassin, Drs. Ahmad Fadzil Yassin dan Saudara Zaen Kasturi mengenai sajak tersebut;

“Sajak Keberangkatan Ayah memuatkan nilai kasih sayang yang beriringan dengan nilai keagamaan. Kedua-dua nilai itu diadun dengan saksama, menyebabkan kesenian karya ini berada di tingkat tinggi. Isinya ialah peristiwa kematian ayah, iaitu isinya yang tentu tidak baru dalam pengalaman manusia. Isi yang biasa itu diletakkan dalam bentuk dan gaya yang berkesan sehingga berupaya mengundang pembaca agar melakukan muhasabah diri dalam menerima realiti kehidupan.

Di tangan penyair ini, tema kematian mendapat kedudukan istimewa. Ini dapat dibandingkan dgn puisi Ke Makam Bonda karya Usman Awang yang ditulis dalam dekad 1950-an. Dengan tidak bermodelkan karya Sasterawan Negara itu, pencapaian sajak Keberangkatan Ayah hampir setara dengannya...”

Selain itu, dia mendapat Naib Johan mengarang drama pentas Anti Dadah peringkat negeri Perak 1996; tempat ketiga drama pentas Sayembara Menulis Skrip Drama Pentas Peringkat Negeri Perak 1997; tempat ketiga Sayembara menulis Sajak Peringkat Negeri Perak. 1997; Johan menulis puisi kemerdekaan anjuran Lembaga Pembangun Sastera Perak dengan kerjasama DBP Wilayah Utara 2009 serta tempat ketiga pertandingan menulis cerpen Inter -Varsiti 1990.

Dua kuntum sajaknya terpilih untuk Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan iaitu Ini Ruang Persembahan Sebuah Perjuangan (2000-2004) dan Taman Merdeka (2005-2009. Beliau juga pernah memenangi Hadiah Utama Kategori Puisi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000

Senarai Karya

Cerpen:

Lila (Mingguan Malaysia) 1997; Cat (Harakah) 2010; Pasrah (Jelita) 1997; Hati Bapa dan Adik (Monolog Sasterawan : DBP 1991); Harga Seutas Kalung (Air Mata Gembira: Penerbit Fajar Bakti, 1989); Adik Tak Mahu Ke Sungai Lagi dan Kubunuh Sepi Ibu (Esok Yang Hilang)


Puisi:
Daerah Singgah (Jelita) 1995; Ceritera Kepada Anak-anak Merdeka (Johan menulis puisi kemerdekaan Perak tahun 2009; Dewasa (Akhbar Watan); Ini Ruang Persembahan Sebuah Perjuangan (Aksara Merdeka); Taman Merdeka (Jamung Merdeka) Keberangkatan Ayah (Lelaki Dgn Sebilah Pedang Tajam & Madu Ilmu); Bukalah Pintu dan Tingkap Itu dan Namanya Mariam: Dedikasi untuk ibuku (Ratib 1000 Syair).

Drama Pentas:
Genta Bejat dan Cerita Dari Sebuah Lorong

Selain menulis cerpen dan puisi beliau juga turut menghasilkan rencana dan pernah disiarkan dalam Mingguan Wanita, Mingguan Perdana, Berita Minggu, Radio Perak, Bujal, Dewan Siswa, Sarina, Utusan Pelajar dan beberapa penerbitan lain.


SHAPIAI MOHD. RAMLY


Berasal dari Gunung Semanggol, Perak dan dilahirkan pada 26 Ogos 1950. Menetap di Johor sejak 1971 hingga sekarang. Beliau pernah menjadi guru di Sek. Keb. Felda Sungai Sayong, Kulai dan Sek. Men. Sultan Ibrahim, Kulai.
            Beliau mendapat pendidikan awal di Sek. Keb. Gunung Semanggol dan Sek. Men. King Edward VII Taiping. Kemudian mengikuti kursus Perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (1969-1970). Mengikuti kursus Perguruan Khas dalam Bidang Pendidikan Seni di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras (1976). Melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat ijazah di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada tahun 1988. Pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Mohd. Khalid, Johor Bahru (1984 – 1998). Kini bertugas sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Batu Pahat, Johor.
            Dalam bidang penulisan, beliau pernah memenangi Hadiah Ketiga Peraduan Mengarang Cerpen Esso-GAPENA (1983) dengan cerpen berjudul ‘Pak Su’. Pada tahun 1984 memenangi Hadiah Kedua Peraduan Mengarang Cerpen Esso – GAPENA ke-V1 dengan cerpen berjudul ‘Terasing’. Seterusnya pernah memenangi Hadiah Saguhati Peraduan Mengarang cerpen Esso-GAPENA  ke-V11 dan V111.
            Dalam bidang puisi, beliau pernah memenangi Hadiah Khas Puisi Berita Harian 1995, berjudul ‘Pertikaman Tuah dan Jebat’, Memenangi Hadiah mengarang Puisi Hari Kemerdekaan 1989 berjudul, ‘Di Atas Mimbar Merdeka’ dan Hadiah Puisi Hari Kemerdekaan 1991, berjudul ‘Membina Taman’. Di samping itu, dia juga memenangi Hadiah Utusan-Public 1997, untuk puisi eceran berjudul, ‘Hujan Melebat Dalam Dirimu’ dan Hadiah Sastera Darul Ta’zim 1995 dan 1999. Pada tahun 2009, beliau menerima Anugerah Sastera Darul Ta’zim bagi kategori kumpulan puisi perseorangan, ‘Keris Sebilah Itu’. Pada tahun 2007 memenangi Anugerah Sastera Perdana bagi Kategori Puisi Eceran dengan puisi berjudul ‘Terlalu’.
            Buku beliau yang pernah diterbitkan  berupa kumpulan cerpen ‘Perjalanan ke Z’ (DBP, 1992), sebuah novel berjudul ‘Gerimis Perkahwinan’ (Marwilis Publisher, 1992), kumpulan puisi ‘Melihat kesunyataan’ (Persatuan penulis Johor, 2000) dan ‘Keris Sebilah Itu’ (Citra Kurnia, 2008).
            Dalam antologi cerpen bersama beberapa karyanya terdapat dalam  Sayembara IV, V, VI dan VIII terbitan DBP, LQ, (DBP , 1991), ‘Fenomena’ (DBP, 1992), dan  ’Jalan Ke Kota’ (DBP 1991). Manakala puisi pula terdapat dalam antologi bersama ‘Di Atas Mimbar Merdeka’ (DBP, 1989), ‘Suara Anak Merdeka’ (DBP 1992), ‘Bunga Liar ‘(PPJ, 1991), Gema Membelah Gema 8 ,10 dan 11 , Iqrak (PPJ 1986), ‘Paraduk Merah’, (PPJ 1990), ‘Membentang Puisi’ (PPJ 1986), ‘Sematan’ (1985), ‘Taman Bahasa Ibunda’ (DBP 1995), ‘Dari Rosmaria ke Nor Syadana’ (PPJ 1994), Potret (DBP: 2006)  Pusaka Bangsa (DBP Wilayah Selatan: 2006), Suara Selat Tebrau (PPJ:2006), Suara Bukit Timbalan (PPJ:2007), Suara Ledang (PPJ:2009), Bicara Hujung Benua (PPJ:2009), Bahtera Ke Selatan (DBP Cawangan Sabah: 2009) Puncak Selatan (PPJ: 2010), Suara Satu Malaysia (PPJ:2010), Semerbak Johor Lama (PPJ:2011).
            Beliau bergiat cergas dalam Persatuan Penulis Johor (PPJ) sejak tahun 1974 sebagai Ahli Jawatankuasa dan dalam tahun 1888 hingga 1991 menjadi Setiausaha Dua.  Pada tahun 1996 menjadi Setiausaha Satu hingga pada tahun 2001. Kini sebagai Ahli Jawatankuasa di samping  memegang portfolio Pengerusi Biro Penerbitan Persatuan.
            Dalam PPJ beliau bertanggungjawab  mewujudkan risalah PPJ berjudul ‘PITA’ yang mula diperkenalkan dalam tahun 1985 dan menerbitkan kembali majalah ‘DUPA’ dan JURNAL PPJ.
            Beliau pernah mengikuti sesi Penataran Sastera di Indonesia pada tahun 1992 bersama dengan Wan Ahmad Ismail dari Terangganu atas pembiayaan DBP. Pada tahun 1997 berpeluang mengikuti Perkampungan Penulis GAPENA II, selama 12 hari  di Riau dan menyertai Seminar  Persuratan Nusantara ke-IX di Padang, Sumatera.
           Sebagai aktivis sastera banyak melibatkan diri dalam memberikan ceramah dan motivasi penulisan sajak dan cerpen khususnya untuk pelajar-pelajar sekolah dan penulis muda. Dalam PPJ beliau menggalakkan sesi ‘Sembang Pagi’ yang memfokuskan perbincangan tentang proses kreatif dan bicara karya penulis-penulis PPJ.
            Beliau juga banyak terlibat dalam membentangkan kertas kerja tentang sastera anjuran persatuan dan juga Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan dan DBP pusat.
            Dalam Kembara Puisi Darul Ta’zim 2002 beliau adalah di antara dua orang penulis PPJ (bersama Allahyarham Gunawan Mahmud) yang berkesempatan mendeklamasikan puisi di daerah-daerah seperti Kluang, Segamat, Kota Tinggi, Pontian dan Batu Pahat.
            Pada tahun 2009 telah menerima Anugerah Penulis Johor daripada Persatuan Penulis Johor (PPJ).

Friday 24 June 2011

Tamar Jalis - terkenal dengan Siri Bercakap dengan Jin (SBDJ)

MENELUSURI PEMIKIRAN TAMAR JALIS LEWAT SBDJ
Oleh DR.TALIB SAMAT
(dr.talibsamat@yahoo.com)


Tamar Jalis atau nama sebenarnya Ahmad @ Mohd.Radzi bin Mahmud telah menghasilkan lebih 284 Siri Bercakap Dengan Jin(SBDJ),16 daripadanya sudah dibukukan dan jualannya menurut suatu kajian Prof.Adnan Nawang melebihi sejuta naskhah.Hal ini memperlihatkan sambutan meluas pembaca terhadap siri novel itu yang sudah bermula sejak tahun 1981 hingga 2005.

Jualan hingga lebih sejuta naskhah siri novel SBDJ membuktikan karya itu lebih banyak terjual berbanding mana-mana buku Sasterawan Negara yang pernah diterbitkan sehingga kini.Jualan besar SBDJ termasuk naskhah cetak rompak menunjukkan pembaca daripada pelbagai bangsa di Malaysia menggemari SBDJ yang mempunyai resipi tersendiri,teknik penulisan kreatif tertentu dan strategi tersendiri memikat pembaca .

Di samping itu strategi jualan SBDJ yang mudah diperolehi sama ada di kedai besar ,kecil,pasar , malam, kedai mamak,Cina dan sebagainya yang merakyat sifatnya memudahkan pembaca memperolehinya untuk dibeli dan dibaca.Hal ini secara tidak langsung mencetuskan fenomena dan budaya membaca yang positif di kalangan rakyat Malaysia.

Generasi pembaca Malaysia era 1980-an,1990-an dan 2005 kebanyakannya pernah membaca siri novel SBDJ atau mengikuti siri ini dalam majalah Variasari terbitan Variapopo Group.Malah ada segelintir mereka masih memiliki koleksi Siri Novel Bercakap Dengan Jin karya Tamar Jalis yang diterbitkan dalam pelbagai versi dan ilustrasi kulit depannya untuk menarik perhatian pembaca meskipun kisahnya bukanlah sekadar kisah tentang makhluk jin atau yang sejenis dengannya tetapi disulami dengan ilmu perubatan tradisional Melayu, sejarah, ilmu persilatan, psikologi Melayu,kosmologi Melayu,perbomohan Melayu dan petua-petua untuk memerangi dan menewaskan iblis dan syaitan daripada menganggu manusia.

Tamar Jalis adalah nama samaran penulisnya yang diambil daripada satu nama jin yang terdapat dalam Hikayat lnderaputera yang terkenal dalam kesusasteraan Melayu tradisional.Penggunaan nama Tamar Jalis memang sesuai dengan penulisan Siri Bercakap Dengan Jin(SBDJ) hingga kebanyakan pembaca tidak menyedari nama sebenar penulis yang sudah berusia 71 tahun ini dan masih sihat walafiat.

Tamar Jalis atau nama sebenarnya Ahmad @ Mohd.Radzi bin Mahmud dilahirkan pada 13 September 1940 di Kampung Batu 36,Jalan Sitiawan,Beruas, Perak.Beliau mendapat pendidikan Melayu dan lnggeris serta Sekolah Rendah Teknik,Ipoh(bahagian tukang kayu dan binaan).

Dalam sejarah hidupnya, beliau pernah menjadi buruh,berniaga, pemberita bebas dan kerani pengedar akhbar Utusan Melayu(1970) dan pernah bertugas sebagai Timbalan Ketua Editor kumpulan majalah Variapop Group sebelum

bersara dan kini menetap di Kuala Lumpur.Be liau juga pernah berkhidmat dalam tentera Wataniah antara tahun 1964 hingga 1966.

Tamar Jalis atau Ahmad @Mohd.Radzi Mahmud mula menceburkan diri dalam dunia penulisan sejak tahun 1955,melalui Utusan Kanak-kanak dan Tunas,tetapi cerpen dewasanya yang pertama tersiar dalam majalah Mutiara pada tahun 1958 berjudul “Berhari Raya di Kampung”.

Di samping menulis Siri Novel Bercakap Dengan Jin(SBDJ) yang tersohor dalam sejarah kesusasteraan Melayu itu ,beliau juga menulis novel dan cerpen. Cerpen-cerpennya tersiar dalam pelbagai majalah seperti Dewan Bahasa, Dewan Sastera,Dewan Masyarakat , Mastika dan Widya, dan akhbar-akhbar Berita Minggu, Utusan Zaman, Mingguan Malaysia dan Watan.
Dua buah cerpennya “Menanti Ayah”(1971) dan “Samad Toja” (Mingguan Malaysia, 26 Mei 1974) memenangi Hadiah Karya Sastera pada era tersebut yang memperlihatkan kekuatan dan ketinggian mutu cerpen karya Ahmad Mahmud atau Tamar Jalis itu sendiri. Cerpen “Samad Toja” termuat dalam Antologi Hadiah Karya Sastera 1974 terbitan DBP(1976) iaitu di halaman 43 hingga 51.

Panel Hadiah Karya Sastera(1974) antara lain menyebutkan “Samad Toja” menceritakan kisah seorang tua yang memegang teguh kepada kepercayaan terhadap kuburan datuknya yang dianggap keramat.Dan ini didramakan dalam satu situasi di mana kekolotan watak ditimbulkan dengan jelas.Samad Toja sanggup mati kerana mempertahankan kepercayaannya.Cerita diselesaikan secara ironis dengan Samad Toja terselamat sedangkan pemuda yang cuba menyelamatkannya mati menjadi korban di suraunya.”

Tiga buah cerpennnya iaitu “Jaril,Jangan Tinggalkan Emak” (Dewan Bahasa, September 1973),” Paman”(Dewan Sastera, Januari 1977) dan “Cincin Berlian Bermata Dua”(Dewan Sastera,April 1980) dimuatkan oleh Hamzah Hamdani dalam buku selenggaraannya Di Bawah Bayang Kemboja terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1981).

Tuah menyebelahi Ahmad Mahmud bila cerpennya “Paman” dan cerpen- cerpen pengarang lain yang termuat dalam antologi Suatu Subuh Yang Bening selenggaraan Othman Puteh dan Ramli Isin terbitan Fajar Bakti Sdn.Bhd. terpilih dan menjadi teks kesusasteraan Melayu peringkat SPM pada era persekolahan tahun 1980-an dan menjadi bahan kajian pelajar untuk lulus peperiksaan SPM.

Di antara novel Ahmad Mahmud ialah Pucuk-pucuk Yang Mati(1967), Lorong-lorong Hitam (1969) dan Rumah Urut(1970).

Hamzah Hamdani dalam ulasannya ada menyebutkan “Walaupun novel-novel Ahmad Mahmud cenderung mengemukakan persoalan-persoalan seks,tetapi dalam perkembangannya kemudian, melalui cerpen-cerpennya,beliau telah mengemukakan persoalan-persoalan kehidupan manusia yang lebih serius.Ahmad Mahmud sering melukiskan jiwa manusia yang gigih menghadapi hidup walaupun akhiran cerita-ceritanya sering menyayat hati.”(1981:44).

Ahmad @ Mohd.Radzi Mahmud menerusi nama samarannya Atma A.M menulis novel-novel bercorak percintaan dan kemasyarakatan berjudul Bukan lmpian Hati setebal 126 halaman terbitan Variapop Group(Kuala Lumpur) pada tahun 1987.Beliau kemudiannya menulis novel Bukan Impian Hati(2) dengan mengguna- kan nama Atma A.M setebal 111 halaman terbitan Variapop Group (Kuala Lumpur)
pada tahun 1988.

Beliau kemudiannya meneruskan penulisan novel bercorak percintaan dan kemasyarakatan dengan menggunakan nama samaran Ramadhan A.M menulis novel Kasihku,Sewangi Cempaka setebal 127 halaman(1988) dan Kukirim Rindu Untukmu setebal 127 halaman (1988) terbitan Variapop Group,Kuala Lumpur.

Pada bulan April 1985 hingga Januari 2005 iaitu selama 23 tahun enam bulan,,beliau mula menggerakkan penulisan novel Siri Bercakap Dengan Jin(SBDJ) dalam majalah Variasari untuk meningkatkan jualan majalah itu dan mencipta rekod sebagai siri novel terpanjang di Malaysia, Asia Tenggara dan sekali gus dunia antarabangsa menggunakan nama samaran Tamar Jalis yang mempunyai sejumlah pembaca dan peminatnya yang tersendiri di negara ini. Pada era 1980-an, majalah Variasari pernah dicetak 120,000 naskhah sebulan kerana wujudnya siri SBDJ itu sebelum beransur menurun kini.

Salah satu siri atau buku novel SBDJ sewajarnya diangkat menjadi teks KOMSAS musim yang akan datang untuk membolehkan pelajar generasi baru mempelajari dan mengetahui pelbagai ilmu dunia Melayu yang terungkap dalam buku itu.Hal ini lebih bererti sebagai menghargai sumbangan besar Tamar Jalis dalam dunia kesusasteraan dan penulisan di samping membantu ekonomi penulisnya berbanding pujian semata-mata.
Menurut Zabidin Hj lsmail ,Presiden Persatuan Karyawan Perak,”Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) karya Tamar Jalis adalah siri cerita kreatif Melayu yang terbanyak dan paling lama bersiaran dalam sebuah majalah tempatan. Sebanyak 221 siri telah dibukukan dengan pelbagai tajuk dan paparan corak kulit yang menarik lagi menyeramkan,termuat dalam 16 buah buku.Sebuah buku SBDJ mengandungi kira-kira 24 siri. Namun demikian terdapat sebanyak 63 siri iaitu siri 222 hingga 284 belum lagi dibukukan.”

Dengan tema “Memperkasakan SBDJ Sebagai Karya Kreatif Melayu Tersohor” telah diadakan Wacana Siri Bercakap Dengan Jin pada 20 Jun 2011 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak,Jalan Raja Di Hilir, lpoh, Perak.

Wacana anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak,Yayasan Perak dan Persatuan Karyawan Perak dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak telah menampilkan pembentangan sepuluh buah kertas kerja menarik yang mengangkat dan mengiktiraf sumbangan besar SBDJ karya Tamar Jalis dalam dunia kesusasteraan.

Sepuluh buah kertas kerja itu ialah “Biografi dan Sumbangan Tamar Jalis Dalam Kesusasteraan Melayu” (Zabidin Hj.lsmail, Presiden Persatuan Karyawan Perak), “ Strategi, Teknik Naratif dan Memoir Dalam SBDJ”(Prof.Madya Dr.Talib Samat/Timbalan Presiden Persatuan Karyawan Perak), “Alam Nusantara Dalam SBDJ”(Dr.Bazrul Bahaman,UPSI), “SBDJ:Psikologi Spiritual Dari Sudut Pandangan Sufi”(Dr.Mohd.Affandy Yusof,USM), “SBDJ Sebuah Karya Sastera” (Kamarul ,IPG Hulu Kinta,Perak), “Alam Bunian dan Jin Dalam SBDJ” (Prof.Madya Datuk Paduka Dr.Mohd.Rosli Saludin,UPSI), “Perubatan Tradisional Dan Persilatan Melayu Dalam SBDJ”(Ustaz Ahmad Tajudin Arshad), “Unsur- Unsur Sejarah Tempatan Dalam SBDJ”(Mohd.Zamberi Malik), “Penilaian Kritis Tentang Jampi,Petua dan Mantera Dalam SBDJ”(Mohamad Paris Arshad, IPG Hulu Kinta,Perak) dan “Kisah-kisah Benar Dalam SBDJ”(Zainal Ariff bin Mat,IPG Kampus Perlis).

Dalam perjuangan memperkasakan lagi ketokohan Tamar Jalis dan SBDJ, Persatuan Karyawan Perak ,Nafiela Books (penerbit SBDJ) dan pihak tertentu akan mengadakan wacana SBDJ di seluruh negara. Di samping itu ada pihak yang sedang membuat dokumentari The Making of SBDJ untuk merakamkan lokasi-lokasi khususnya di Perak, Malaysia dan Sumatera yang menjadi latar sebenar penceritaan SBDJ yang pastinya akan mempopularkan lagi siri novel seram, misteri dan unik ini.


Tarikh ditulis- 24 Jun 2011.jam 12.15 tgh.hari.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...