Wednesday, 5 October 2011

AHMAD MAHMUD


SBDJ, Tamar Jalis dan Ahmad Mahmud: Satu Sorotan Ringkas
oleh Zabidin Hj Ismail

Pengenalan


Siri Bercakap dengan Jin (SBDJ) karya Tamar Jalis adalah siri cerita kreatif Melayu yang terbanyak dan paling lama bersiaran dalam sebuah majalah tempatan.  Sebanyak 284 siri disiarkan dalam majalah Variasari terbitan Variapop Group, Kuala Lumpur berterusan selama 23 tahun enam bulan mulai bulan April 1981 hingga Januari 2005. Ini adalah rekod Malaysia bahkan  merupakan satu rekod dalam arena persuratan dunia.
Sebanyak 221 siri telah dibukukan dengan pelbagai tajuk dan paparan corak kulit yang menarik lagi menyeramkan, termuat dalam 16 buah buku. Sebuah buku SBDJ mengandungi kira-kira 24 siri.
Prof. Dr. Adnan Nawang pernah membuat anggaran bahawa SBDJ tercetak lebih sejuta naskhah. Sayangnya, disebabkan siri itu teramat popular, ia dicetak rompak dan dijual di mana-mana, sehingga di pekan-pekan kecil, kedai runcit Mamak dan Cina pun menjual siri itu. Namun demikian terdapat sebanyak 63 siri iaitu 222 hingga  284 belum lagi dibukukan.
Meskipun SBDJ tersohor dengan kisah hantu, jin dan makhluk halus yang melingkari kehidupan orang Melayu zaman dahulu, tetapi secara instrinsik manipulatif ia memaparkan sosio-budaya, psikologi, falsafah, petua, perubatan tradisional, mistik, keagamaan, seni persilatan, kebatinan, sejarah tempatan, geografi,  pemburuan, pengembaraan di Tanah Melayu dan Sumatera (Jambi, Krinchi, Bangkahulu dan Aceh) serta kepakaran menundukkan makhluk halus.
Karya ini digarap bercirikan sastera genre memoir dengan pendekatan autobiografi yang mampu menarik perhatian pembaca dalam menghayati rentetan peristiwa melalui “orang pertama” iaitu Tamar Jalis bersama “datuk”nya (Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah) yang berkonsepkan penulisan memoir.
Semenjak terbitnya SBDJ hingga kini, karya tersebut sangat diminati ramai dan mempunyai “peminat” tersendiri sehingga wujud facebook dan blog yang menggunakan nama Tamar Jalis dengan kendalian peminatnya. Melalui laman sosial dan blog berkenaan para peminat sering bertukar maklumat / pandangan mengenai SBDJ[1].


Sejarah kemunculan SBDJ

Pada peringkat awal, Tamar Jalis menulis SBDJ atas permintaan kawannya  Mustafa Ton (kini: Dato’) bagi meluaskan pengedaran majalah Variasari kepunyaan Mustafa.  Waktu itu pejabat Variasari terletak di Jln Raja Alang, Kuala Lumpur.
Majalah Variasari mula diterbitkan pada awal 1980-an. Tetapi pengedaran majalah bulanan ini pada peringkat permulaannya,   tidak meluas dan kurang perhatian daripada pembaca.  Konsep Variasari mirip Mastika yang established  tidak mampu mencuri pembaca Mastika. 
Hakikatnya,  sebelum Mustafa Ton mengambil alih pengurusan Variasari, telah ada dua pengusaha lain yang pernah mengendalikan Variasari tetapi gagal mencapai matlamat jualan yang diharapkan.   Mustafa Ton pengusaha ketiga yang mungkin menemui kegagalan seperti pengusaha yang terdahulu seandainya sesuatu tindakan strategik tidak dilakukan terhadap Variasari.
Mujur Mustafa Ton menemui Ahmad Mahmud dan melantik beliau mengetuai Variapop Group sebagai Ketua Pengarang.  Justeru  Ahmad Mahmud bertanggungjawab mencari jalan bagi meningkatkan jumlah jualan Variasari.  Saat itulah Ahmad Mahmud terlintas untuk merakamkan kisah hidup Kulup Muhamad  Diah atau Long Mat Piah dalam bentuk penulisan.
Kulup Muhamad Diah @Long Mat Diah dijadikan protagonis dalam SBDJ adalah wira tanpa wirawati.  Ahmad Mahmud menggunakan nama pena Tamar Jalis untuk siri ini. Beliau menggunakan pendekatan autobiografi dalam mengarap SBDJ yang paling sesuai diklaskan sebagai karya memoir. Pengarang menggunakan sudut pandangan  “orang pertama” iaitu Tamar Jalis sebagai watak pembantu kepada Kulup Muhamad Diah atau “Datuk” nya.



Kenapa SBDJ menarik minat pembaca?

a)    Gaya penulisan

Sesungguhnya, Ahmad Mahmud memiliki kepakaran menceritakan sesuatu dengan terperinci. Dia berbakat mengolah sesuatu cerita itu dengan bahasa Melayu  baku yang mudah difahami dan memikat. Dia mampu melukiskan setiap apa yang dilihat, apa yang didengar dan apa yang dirasanya dalam penulisan. Kekuatan inilah yang menyebabkan SBDJ menjadi tarikan pembaca.  Lihat petikan cerpen di bawah yang menggambarkan gaya penulisan Ahmad Mahmud yang asli. Sebagai contoh;

Kalau anda datang ke desa kami. Ikut jalan sebelah kiri, anda akan bertemu dengan perdu buluh yang tebat dan rimbun daunnya. Jika anda, melangkah lagi ke depan, sepuluh langkah, pasti tersua dengan pusara tua yang bernisan condong.

Tidak jauh dari pusara itu, ada pondok buruk yang dikelilingi pokok-pokok puding. Dalam jarak tiga puluh kaki ke utara pusara itu, ada surau buruk yang tangganya, mengadap sebatang anak sungai.

(cerpen Samad Toja, Mingguan Malaysia, 26.5.1974)


            Gaya penulisan begini lantas memikat pembaca. Apa tah lagi SBDJ menghidangkan pelbagai pengalaman misteri “Datuk” Tamar Jalis yang memberikan dimensi baru kepada pembaca.  Apabila siri SBDJ dipaparkan dalam Variasari, jualannya mencecah sehingga 40 ribu naskah sebulan.
            Malahan ada satu ketika edaran Variasari menyaingi majalah established Dewan Masyarakat yang waktu itu menyiarkan rencana pembongkaran kisah hidup Shamsiah Fakih hasil penyelidikan dan siasatan Fatni Yaacob (kini Datin)  di Negara China.
Oleh kerana Variasari mendapat perhatian sehingga tersebar di Singapura, Selatan Sumatera dan Brunei Darussalam, Mastika keluaran Utusan Melayu yang sudah ada pembaca tersendiri terpaksa menukar imej, trend dan bentuk seakan-akan Variasari kerana pembaca setianya sudah beralih angin membaca Variasari. Waktu itu Mastika dipimpin oleh Allahyarham Zainol Fakir. Saban bulan pembaca ternanti-nanti kemunculan SBDJ dan edaran Variasari memuncak semenjak siri 1 hingga 18[2].
Pada pertengahan tahun 1980-an SBDJ dikompilasikan dalam beberapa buah jilid. Anggaran setiap cetakan menjangkau 30 hingga 40 ribu naskah dan diulang cetak berkali-kali.  Ahmad Mahmud  menganggarkan SBDJ dicetak  berjumlah jutaan naskah.


b)    Nilai-nilai kemelayuan


Hampir seratus peratus kandungan SBDJ mempunyai nilai-nilai keMelayuan.  Nilai-nilai tersebut terserlah dalam wacana, kata bual, naratif malahan perwatakan protagonis (Datuk)  dan Tamar Jalis sendiri. Sebahagian besar nilai-nilai tersebut dipaparkan melalui instrinsik manipulatif yang berseni dan indah.  Contoh nilai-nilai Melayu seperti petua, jampi serapah, seni persilatan, penggunaan ayat al- Quran, lokasi kembara malahan tindak tanduk watak juga mengambarkan gaya hidup dan corak pemikiran bangsa Melayu. Lihat bagaimana Ahmad Mahmud menggunakan instrinsik manipulatif dalam siri 20 – diganggu monyet besar.:

Saya mula langkah ke arah pokok langsat pula. Jarak saya dengan Masitah tidak begitu jauh. Tetapi, saya masih enggan memperlihatkan diri, Masitah bersembunyi di balik pokok langsat.
“Saya nak balik”
“Baliklah, kenapa bagi tahu saya….”
“Sombong sangat, ni,” kata saya lagi.
“Hum..”
Masitah menjeling tajam ke arah saya…..
………..
……….
Masitah senyum. Dengan tergesa-gesa saya menuliskan nama dan alamat pada kertas. Saya selitkan kertas itu pada ranting keduduk bercabang tiga.
“Jangan lupa ambil tau,” kata saya
Tidak ada jawapan dari Masitah. Tetapi apa yang jelas dia mengangguk. Ertinya dia bersedia memenuhi arahan saya.

Nilai Melayu dalam petikan di atas cara bagaimana teruna dan dara Melayu memulakan persahabatan. Ada cara dan batas-batas tertentu. Perwatakan Masitah digambarkan sebagai dara sunti yang lemah lembut tetapi tegas dalam mengawal maruah.
Nilai Melayu yang nyata ialah lukisan latar yang membabitkan pokok langsat dan senduduk (keduduk). Latar yang dilukiskan oleh Tamar Jalis dalam perkenalan antara “Masitah dan saya” menggambarkan suasana sebuah kampung Melayu (dlm. konteks petikan ialah Balik Pulau). 
Lazim di perkampungan tradisional Melayu, pokok langsat dan senduduk amat sinonim dengan kehidupan bangsa Melayu. Pokok senduduk selalunya tumbuh meliar berdekatan langsat. Cerita langsat dan senduduk boleh digambarkan melalui pantun ini;

            Buah langsat kuning mencelah,
senduduk tidak berbunga lagi;
Sudah dapat gading bertuah,
tanduk tidak berguna lagi.


Walaupun banyak sebab kenapa SBDJ memikat pembaca tetapi faktor utama yang dominan ialah gaya penulisan dan nilai-nilai keMelayuan yang memberikan pengetahuan atau ilmu baru kepada pembaca dalam memahami kehidupan masyarakat Melayu dahulu kala.


SBDJ: khazanah Negeri Perak yang tersohor


Bagi saya, SBDJ adalah karya kreatif Melayu yang tersohor. Mampu menyaingi Harry Potter oleh JK Rowling seandainya dialih bahasa ke bahasa dunia. Ia merupakan khazanah Perak yang bernilai bukan hanya kerana penulisnya, anak Perak tetapi hampir tujuh puluh peratus kisah dalam SBDJ berkaitan dengan Negeri Perak baik mengenai sejarah, perkara benar, lokasi dan sebagainya adalah dokumentasi tulisan berbentuk kreatif yang pertama di tanah air.
 SBDJ bukan cerita seram. Ia juga bukan kisah jin atau bunian semata-mata. Kalau kita hayati 284 siri itu, berapa peratus kah alam bunian, jin, hantu dan jembalang dipaparkan?
Kebanyakan masyarakat melihat SBDJ sebagai cerita seram semata-mata kerana tajuknya. Acap kali juga ilustrasi yang dipaparkan pada kulit buku atau pada lembaran siri dengan gambaran hantu dan peri lantas persepsi terbentuk mengatakan SBDJ adalah cerita seram dan tahyul.  Justeru mereka yang berfikir di dalam kotak terus menganggap SBDJ sebagai buku picisan dan popular.
Janganlah menilai buku daripada kulitnya; hayati kandungannya. SBDJ dapat dikategorikan novel kembara atau memoir yang sarat dan tepu dengan pengalaman hidup  wira iaitu Kulup Muhamad Diah @ Datuk. Wira bukan sebarang wira tetapi memiliki pelbagai kepandaian termasuk menundukkan hantu dan jin yang sukar diperoleh ilmu begitu pada orang sekarang.
Sesungguhnya, SBDJ perlu dimartabatkan sebagai sebuah karya klasik yang bernilai tinggi sebagaimana Misa Melayu karya Raja Chulan Abdul Hamid, Anggun Cik Tunggal, Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Malim Deman, Hikayat Raja Muda dan Hikayat Malim Dewa oleh Pawang Ana  yang menjadi magnum opus atau karya agung  bagi negeri Perak.



Siapa Tamar Jalis?

           

Nama Tamar Jalis ada tercatat dalam Hikayat Inderaputera[3] yang menyebut bahawa Tamar Jalis adalah anak raja jin Tamar Bunga (Tamar Boga)  yang telah dibunuh oleh Inderaputera.  S.W Rujiati Mulyadi mencatatkan bahawa Tamar Jalis adalah anak jin kafir;

            “….sebagai contoh umpamanya diceritakan bahawa Tamar Jalis, anak seorang raja jin kafir, berperang dengan Nobat Rum Syah, anak seorang jin Islam. Pada akhirnya Indera Putera dating membantu barisan jin Islam dan Tamar Jalis dapat dibunuhnya. Dendam akan hal ini ayah Tamar Jalis – Taman Boga – mencari-cari Inderaputera, yang ditemukan sedang tidur terlena di bawah pohon”.[4]

            Sehubungan itu, Tamar Jalis adalah nama samaran Ahmad Mahmud. Beliau memilih Tamar Jalis kerana nama  yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera itu,  amat sesuai dengan tajuk siri yang berkaitan dengan mahkluk jin.


Latar Belakang Ahmad Mahmud


Nama sebenar  Ahmad Mahmud ialah Mohamad Radzi bin Mahmud dilahirkan pada 13 September 1940 di Kampung Batu 36, Jalan Sitiawan, Beruas, Perak. Mendapat pendidikan Melayu, Inggeris hingga ke Sekolah Teknik, Ipoh dalam bidang tukang kayu dan binaan.
            Pengalaman kerjayanya bermula pada tahun 1959 apabila bertugas sebagai Juruteknik Rendah di sebuah jabatan kerajaan selama tiga bulan. Kemudian menjadi buruh kereta api selama lima hari. Awal tahun 1960, Ahmad Mahmud menjadi buruh kasar membina jana elektrik di Cameron Highland.
            Pada tahun yang sama, beliau diterima menjadi Pemberita Sambilan untuk akhbar Warta Negara, Utusan Melayu, Berita Harian di samping menyumbang tulisan kepada beberapa majalah hiburan yang diterbitkan di Singapura di samping berniaga.
            Sekitar tahun 1964 hingga 1966, Ahmad Mahmud berkhidmat dengan tentera Wataniah. Tetapi setelah berhenti Wataniah, dia kembali berniaga sambil meneruskan kerjaya sebagai Pemberita Sambilan. Manakala pada sekitar tahun 1970 hingga 1977 beliau dilantik sebagai kerani pengedaran di Utusan Melayu, Berhad, cawangan Ipoh.
            Dia berhijrah ke Kuala Lumpur dan berkhidmat sebagai penyunting alkhbar Harian Watan (1977-1979). Kemudian sebagai editor majalah terbitan Penerbitan Adabi seperti Widya, Aktual dan Rintis (1980). Setelah itu, pada tahun 1981, Ahmad Mahmud dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Variapop Sdn Bhd yang menerbitkan majalah Variapop, Variasari dan Famili.



Sejarah Penulisan


            Ahmad  Mahmud mula menulis semasa masih menuntut dalam tahun 1955 dengan menghantar tulisan ke Utusan Kanak-kanak dan majalah Tunas. Kemudian beliau menulis cerpen dewasa; kali pertama tersiar di majalah Mutiara dalam tahun 1958 berjudul Berhari Raya di Kampung. Tetapi bergiat secara serius dalam penulisan cerpen bermula pada tahun 1965. Pernah memenangi hadiahbernilai RM300  menerusi  peraduan menulis cerpen anjuran Berita Harian sebanyak tiga kali yang diadakan setiap hari Khamis. Judul cerpen yang menang itu ialah Kalau dah gila nak berbini, Ulam jering sambal tempoyak dan Pencari rotan.
            Cerpen-cerpennya banyak tersiar di pelbagai majalah seperti Mastika, Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Widya, Utusan Filem dan Sports. Manakala akhbar pula ialah Berita Harian, Warta Mingguan, Utusan Zaman, Mingguan Malaysia dan Watan.

            Dua buah cerpen beliau, Menanti Ayah (Dewan Bahasa, 1971) dan Samad Toja (Mingguan Malaysia 1974 telah memenangi hadiah Karya Sastera Kebangsaan. Di samping itu beberapa buah cerpen beliau termuat dalam antologi bersama seperti berikut:

1.    Intan Terpilih (Utusan Melayu)
2.    Perjalanan (Dewan Bahasa dan Pustaka)
3.    Pemenang (Dewan Bahasa dan Pustaka)
4.    Di Bawah Bayang Kemboja (Dewan Bahasa dan Pustaka)
5.    Suatu Subuh Yang Bening (Fajar Bakti)
6.    Alun Mengulung Perlahan (Fajar Bakti)

Senarai cerpen yang tersiar di akhbar dan majalah
            Watan  (3)

23.07.1978 - Dendam
22.02.1979 - Sebuah Rumah Untuk Hari Tua
13.07.1979 - Rokok Sekotak
Top of Form
Bottom of Form
Mingguan Malaysia (11)

06.06.1971 - Mat Deham Orang Lama
26.05.1974 - Samad Toja
01.09.1974 - Oh Angin, Oh Ombak
12.01.1975 - Zamin Datang Lah
05.10.1975 - Sayang, Si Zubir Sayang
21.03.1976 - Sayang Tanjung Ara
18.07.1976 - Keretapi Mel
26.12.1976 - Paman
13.03.1977 - Lelaki Tua
12.03.1978 - Aduhai Paman
24.08.1980 - Adik tak sayang abang
Top of Form

Utusan Zaman  (22)

13.11.1966 - Tersedu
05.03.1967 - Balang Tempoyak Meletup
03.07.1967 - Warung Awang Kudung
19.11.1967 - Hati Bangsa Ku Tidak Begitu
31.03.1968 - Hancur
16.06.1968 - Cabaran
11.08.1968 - Biarlah Aku Masuk Neraka
30.03.1969 - Manusia Tidak Sempurna
07.03.1971 - Air Mata
02.05.1971 - Mamat Buka Bengkel
08.08.1971 - Minyak Karun
02.04.1972 - Api Menjilat Langit
22.10.1972 - Anak Bertuah
18.03.1973 - Yang Kembali
20.05.1973 - Kudun
14.10.1973 - Bapa
16.02.1975 - Ipoh Oh Ipoh
01.06.1975 - Lelaki Setengah Umur
19.10.1975 - Air Yang Mengalir
04.04.1976 - Aduh Kampung Gajah
08.08.1976 - Hari Yang Bahagia
28.09.1980 - Mariamah ku sayang lihat seterusnya

Top of Form
Berita Minggu (6)

04.09.1966 - Cinta Yang Sungguh Ganjil
17.09.1967 - Pulang, Pulang, Pulang
07.04.1968 - Air Mata Terus Mengalir
21.07.1968 - Amanat Ayah
10.08.1969 - Jangan Ayah, Jangan
05.10.1969 - Cucu Kesayangan Datuk



Dewan Bahasa  (2)

Oktober 1971      – Menanti ayah
September 1973 – Jangan tinggalkan emak

Dewan Sastera (2)

Januari 1977 – Paman
April 1980     – Cincin berlian, bermata dua


            Selain menggunakan nama Ahmad Mahmud, beberapa nama pena seperti Ramadan A.M dan Atma A.M turut digunakan terutama dalam penulisan novel. Antara novel yang dihasilkan menggunakan nama Ahmad Mahmud ialah:

1.    Pucuk-pucuk yang Mati (1967)
2.    Lorong Hitam (1969)
3.    Rumah Urut (1970
4.    Selembut Bayu Pagi (1980)


Atas nama Ramadan A.M ialah:


1.    Selembut Angin Senja (1984)
2.    Sejambak Mesra, Seluas Rindu (1984) – Novel ini telah dijadikan drama tv untuk slot Citraneka sebanyak tiga siri yang ditayangkan di TV (RTM) dalam bulan Februari dan Mac 1992.
3.    Kukirim Rindu Untukmu (1988)
4.    Kasih Sewangi Cempaka (1988)


Atas nama Atma A.M ialah:

1      Sebening Sinar Matamu (1987)
2      Ku Nanti di Pelabuhan Kasih (1987)
3      Di sini Cintaku Berbunga (1987)
4      Sebening Sinar Matamu (1987)
5      Ketika Rindu Datang (1987)
6      Seraut Wajah Kekasih (1986)


Ahmad Mahmud juga pernah menjadi kolumnis untuk akhbar Suara Merdeka dengan siri berjudul Tepi Jalan dan di akhbar Watan dengan ruangan bertajuk Ciri-ciri Hidup.
Dalam aktiviti sastera dan badan penulis, Ahmad Mahmud pernah bergiat aktif dengan Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS) serta Persatuan Wartawan Hiburan (EJA) serta Persatuan Wartawan Melayu



Penutup


SBDJ adalah karya kreatif Melayu yang seharusnya dimartabatkan sebagai khazanah sastera negeri Perak. Perbadanan Perpustakaan Awam berperanan menyimpan dan memelihara karya ini agar ia tidak lenyap ditelan zaman.


Bibliografi

Hikayat Inderaputera, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Ensaikolopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu 1994. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 173
Wawancara dengan Ahmad Mahmud pada 18 Mei 2011 menerusi telefon.
Surat peribadi Ahmad Mahmud kepada Penulis (1992).
Tamar Jalis 1992.  “ Diganggu Monyet Besar” dlm Bercakap dengan Jin.Kuala    Lumpur: Variapop Group.


[2]  Wawancara dengan Ahmad Mahmud menerusi telefon pada 18.5.2011
[3]    Bab 4  – Di Negeri Jin Islam,  hlm.  21
[4]  S.W. Rujiati Mulyadi dlm. Rona Keislaman dalam Hikayat Inderaputera, hlm. 136-137. Lihat http://www.persee.fr/web/revues/home/prescript/article/arch_0044-8613_1980_num_20_1_1594

Tuesday, 13 September 2011

Uthaya Sankar SB

Uthaya Sankar SB merupakan nama yang tidak asing dalam dunia sastera Malaysia. Pengarang ini juga pernah menggunakan nama-nama pena Shafie Uzein Gharib, Hanuman O dan Leonard Loar. Beliau lahir dan membesar di Aulong Lama, Taiping, Perak Darul Ridzuan. Negeri kelahirannya sering menjadi latar dalam karyanya.

Beliau mendapat pendidikan formal di Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Aulong, Sekolah Menengah Darul Ridwan, Sekolah Menengah King Edward VII, Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Berpengalaman luas sebagai pensyarah kursus Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pengajian Malaysia di Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM), HELP Institute, Institut Teknologi Kreatif Limkokwing (LICT), The One Academy, Yamaha Academy of Arts & Music, Kolej Prime USJ, Kolej Antarabangsa MSC, Kolej Antarabangsa Summit, Kolej SEGi Subang Jaya, Kolej Antarabangsa SIT dan Kolej Optima; penyunting berita televisyen (Bahasa Malaysia), penyampai berita TV (Bahasa Malaysia), pengulas segmen Akhbar Hari Ini dan Penyelia Bilik Operasi Unit Bencana RTM di Radio Televisyen Malaysia (RTM); serta penyunting berita di Bernama Radio24.

Selama setahun mulai 1 Februari 2010, Uthaya Sankar SB bertugas sebagai penolong editor akhbar Sinar Harian di Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd dan mulai 1 Mac 2011, menubuhkan ‘Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya’ serta menjadi penulis sepenuh masa.

Beliau menerima Anugerah Duta Keamanan (Ambassador for Peace) daripada Universal Peace Federation pada 24 Ogos 2008 atas sumbangan terhadap keamanan, persefahaman dan perpaduan melalui penulisan.
Uthaya Sankar SB mewakili Malaysia ke Program Penataran Sastera anjuran MASTERA di Bogor, Indonesia pada 1997.

Karya Uthaya Sankar SB pernah memenangi Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1992, 1993 & 1996), Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1993), Hadiah Cerpen Esso-Gapena (1996), Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996/97 & 1998/99) dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil (2003).

Kumpulan cerpen Uthaya Sankar SB berjudul Orang Dimensi (DBP: 1994), Siru Kambam (DBP: 1996 & 1997), Yang Aneh-aneh (Sasbadi: 1997), Surat dari Madras (DBP: 1999), Nayagi (JPMUM: 2000), Sasterawan Pulau Cinta (USSB: 2001), Rudra Avatara (USSB: 2008) dan Kathakali (USSB: 2009).

Beliau juga menghasilkan novel retorik parodi Hanuman: Potret Diri (DBP: 1996), novel Panchayat (USSB: 2002), Koleksi Cerita Ikan (Maselga: 1997), Cerita Rakyat Asia Co-mel (Percetakan Nasional: 1997) serta kumpulan cerita rakyat India bertajuk Nari! Nari! (DBP: 1995 & 2000) dan Munis dengan Harimau (Fajar Bakti: 1996). Beliau turut menyelenggarakan Vanakam (USSB: 2002) iaitu antologi sulung cerpen Bahasa Malaysia karya penulis kaum India Malaysia.

Hasil karya Bahasa Malaysia pengarang ini pernah disiarkan – antara lain – dalam majalah Nila, Dakwah, Karya, Dewan Pelajar, e-baca, Dewan Siswa, e@siswa, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, Siasah, Sarina, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat, Dewan Kosmik, Dewan Agama dan Falsafah, Minda dan Dewan Sastera serta akhbar Mingguan Malaysia, Metro Ahad dan Mingguan Watan; manakala tulisan Bahasa Inggeris pula di akhbar New Straits Times. Karya beliau (cerpen dan drama) turut diterjemah untuk disiarkan dalam media cetak dan media elektronik Bahasa Tamil serta media cetak Bahasa Mandarin dan Bahasa Inggeris.
.
Uthaya Sankar SB adalah pengasas dan Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan sejak Ogos 1999. Kavyan mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records melalui acara Baca Cerpen Kavyan (2003) serta menerima Anugerah Budayawan Selangor (2005).

Beliau kolumnis di Free Malaysia Today dan The Malaysian Insider. Blognya boleh dibaca di www.uthayasb.blogspot.com manakala akaun Facebook di www.facebook.com/uthaya.

Wednesday, 20 July 2011

AMIRUL FAKIR


ARKIB : 19/06/2011  MINGGUAN MALAYSIA
Belasungkawa Amirul Fakir
Oleh Raja Ahmad Aminullah
Dalam sebuah sajaknya mengenderai Sang Angin, Amirul Fakir menulis:
Sejadah yang berdarah.
Aku sering mendengar deru
sesekali kuhirup nyamannya
sesekali terkesiap oleh lecutan
yang melukakan.
Aku juga terpesona pada serumu:
“kenderailah ia sebelum terlewat
kerna di pulau itulah destinasi kita”,
laungmu berulang kali.
Aku melihat kau
alon-alon mengenderainya
di hujung sana pulau impian itu
berbalam-balam
suaramu semakin bergetar
berbaur dalam siutan terakhir.
*(Daripada kumpulan sajak Fosil, Rumah Penebitan Suara Suara 2006)
Barangkali antara kesan hasil daripada dunia perbukuan dan penulisan adalah, sepertimana yang dikatakan oleh seorang ahli falsafah Jepun, untuk merakam ‘traces of dreams’.
Dan kalaulah itu benar, maka Amirul Fakir melalui kumpulan sajaknya Fosil dan kemudian antologi cerpennya Mea Culpa, telahpun berupaya meninggalkan legasi atau warisannya itu.
Ibnu Khaldun ahli falsafah, sosiologi dan sejarawan telah banyak mengingatkan masyarakat sezamannya mengenai perkara ini. Pengarang Muqadimah itu berulangkali menyebut peri pentingnya dunia penulisan dan penghasilan buku dalam upaya untuk membangun sesebuah tamadun. Pada tahun 1375, Ibnu Khaldun pernah mengkritik tindakan penguasa atau elit masyarakat pada zaman sebelumnya sering membakar buku dalam usaha untuk mengabsahkan pemerintahan yang baru.
Amirul Fakir atau nama sebenarnya Amiruddin bin Hussin dilahirkan pada 8 April 1967 di Ipoh , Perak telah kembali ke rahmatullah pada 10 Jun lalu. Amirul adalah seorang penyair , penulis, penterjemah dan editor bebas. Beliau pernah bekerja dengan Penerbangan Malaysia di Lapangan Terbang Kuantan pada tahun 1980-an. Dia terlibat dengan penubuhan kelompok Angkatan 21. Antara kawan-kawan rapatnya yang juga menjadi inspirasinya adalah Marsli N.O.
Di sebalik senyumnya yang hampir tak pernah kering sewaktu bersama dengan kawan-kawan, dia juga merupakan seorang yang intens dan serius apabila bersama sembang-sembang ataupun wacana informal mengenai dunia seni, budaya dan peranannya dalam pembinaan minda bangsa dan tamadun manusia.
Dalam hal ini dia amat percaya pada pentingnya peranan seniman, penulis, penyair dan aktivis budaya dalam mengerakkan hasrat ini. Dalam catatan ringkasnya bertajuk Memalsukan Kesenimanan yang tersiar dalam majalah Suara Seni Mei 2003, Amirul menulis:
"(Kerana seniman) telah memilih landas ini sebagai suatu cara untuk memperjuangkan kebenaran dan bersiaga memancung setiap yang bernama kebatilan, segala musibah yang menabrak pasti menjadikan ia bertambah sigap dan tidak mudah pula dihinabobokkan.
“Hasrat mulus untuk membebat segala yang bernama kebejatan, menyeret seorang seniman atau sasterawan mengharungi segala kejerihan dalam kehidupan realitinya dengan penuh rasa pasrah tanpa sama sekali menuding ke arah massa dengan maksud menyalahkan. Malahan ia tetap tegar bersama harapan bahawa akan muncul juga segala yang menjadi idamannya.”
“Tetapi apakah penyataan itu sesuatu yang telah dimeterai oleh para seniman atau sasterawan secara alami atau ia sekadar retorik sang seniman untuk menyembunyikan kaduk-kaduk yang akan tampil pada situasi tertentu. Sembari sebelah lengan diacungkan, menuntut kebenaran manakala sebelah pula menggapai mahu memiliki material yang disodorkan dan tentunya dengan sederetan syarat yang memualkan.
Apakah sudah ada senyuman yang merelakan dirinya didandan dengan kostum si badut dan bersedia pula untuk membeber wejangan para oportunis hanya kerana tergiur oleh bayangan material atau nama yang bakal dinobatkan di persada seni”.
Saya teringat kepada apa yang ditulis oleh Amirul dalam eseinya Biar Berjuang Untuk Kebenaran mengenai pelancaran kumpulan sajak pertama saya, Menyarung Jiwa oleh Sasterawan Negara Muhammad Hj Salleh. Amirul telah menulis seperti berikut. “Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah memulakan bicara seni dengan melontarkan ungkapan sinis, antaranya, “ini bukan zaman seni, ini zaman menyingkirkan seni!”, “ini zaman mendapatkan MBA!” dan “ini adalah suatu zaman yang tidak mencari puncak falsafah, tetapi suatu zaman mencari puncak material dan keuntungan"
Kini Amirul telah pergi, pulang kepada rahmat al-Khaliq. Bagi kita yang telah mengenal dan bertuah bersama-sama dengannya, marilah kita kenang keberadaanya di dunia ini dengan memanfaatkan warisannya. Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan semua sudut pandangnya, itu merupakan perkara kedua. Yang penting dia seorang yang meraikan ide dan wacana, meskipun gerak gerinya terbatas berbanding dengan seniman-seniman dan penulis tersohor yang lebih mudah untuk bergerak ke sana sini.
Si Burung Hijau
Tidak ada gigil bergayut di dada
saat algojo menajamkan gelap di mata
yang bergeming, hanya alon-alon
berbenturan disela-sela serakan awan
kepak mulusmu kedengaran di kuping
menandai doa yang di titik di pada nyala
berani telah dimakbulkanNya
dan para malaikat dalam arakan cahaya
menguliti tembang kudus tatkala dempangan
kepak merafak ; semakin panar dari
aroma mersiu menerombosi cakerawala mimpi
mengitari petala demi petala surgawi
menyeru tentang bersemayamnya para
syuhada terpilih ini.
* (Puisi Si Burung Hijau karya Amirul Fakir dari antologi Anti Perang: YKP, 2003)

Saturday, 9 July 2011

Rosmiaty Shaari

Detik Mula

Bila teman-teman bertanya, bagaimana saya boleh menjadi seorang penulis. Saya tidak tahu bagaimana hendak menjawab. Seingat saya, di musim kecil saya, sekitar usia saya 10 ke 12 tahun, seorang penyair bernama Abdul Mutalib, tinggal berjiran dengan keluarga saya di Teluk Intan. Saya sering ke rumahnya kerana beliau menyimpan koleksi buku-buku dan majalah yang banyak dan sentiasa melanggan majalah setiap bulan, terutama majalah Dewan Pelajar. Sayalah pengunjung setianya, membaca buku-buku dan majalah kanak-kanak. Beliau seorang yang baik hati dan tidak lokek membenarkan saya membaca buku-buku dan majalah-majalahnya. Diam-diam, saya menyimpan hasrat, 'kalaulah saya seorang penulis sepertinya...'

Pengalaman lalu banyak membantu diri saya muncul sebagai penulis. Rasanya tidak perlulah saya menceritakan apa pengalaman itu kerana ia sering muncul dalam karya-karya saya. Hanya yang saya terfikir, barangkali arwah ayahanda saya juga meminati dunia penulisan tetapi beliau tidak berkesempatan untuk menampakkan bakatnya di khalayak pembaca oleh kesempitan hidup. Namun, seingat saya, arwah ayahanda sering menulis pengalaman dan aktiviti harian ke dalam diarinya. Saya sempat membaca segala pengalaman pahit jerihnya. Sayang, buku catatan itu telah hilang entah ke mana.

Bila usia saya meningkat remaja, saya mula berjinak-jinak menulis. Saya pernah mendapat tempat pertama mengkritik novel peringkat sekolah. Ketika itu, saya baru berusia 17 tahun dan memilih novel Puntung Hanyut karya Nora untuk dikritik. Setelah menamatkan Tingkatan 5, saya terus cuba menulis. Cerpen pertama saya berjudul Nenek Utih, saya usahakan untuk diadili ke pertandingan menulis cerpen PENTAS. Ketika itu saya belum menjadi ahli persatuan, dan oleh kerana keesokan harinya tarikh tutup penghantaran penyertaan, malam itu juga saya memujuk setiausaha persatuan yang baru saya kenali, Ustaz Kamaruddin Dani, supaya menerima saya menjadi ahli dan seterusnya menerima penyertaan cerpen saya. 

Di luar pengetahuan saya, pengadil bagi peraduan itu rupanya diketuai oleh Saudara Othman Rasul yang menjadi sahabat saya hari ini. Saya langsung tidak menjangka bahawa cerpen saya telah diisytiharkan memenangi tempat pertama, diikuti oleh cerpen arwah M. Saleh Mahyat dan cerpen Sdr Onn Abdullah. Itulah detik permulaan perjalanan penulisan kreatif saya. Dan, saya masih ingat arwah ayahanda telah membelikan saya sebuah mesin taip secara ansuran sebagai penghargaan dan dorongan terhadap kesungguhan saya dalam dunia penulisan ini.

Catatan Penulisan Cerpen

Dalam penulisan prosa seperti cerpen, saya amat tertarik dengan gaya penulisan Shahnon Ahmad, Fatimah Busu, Baharuddin Kahar, dan Anwar Ridwan. Meskipun saya pernah berguru dengan ayahanda Shahnon Ahmad dan Fatimah Busu, namun mereka berempatlah yang menjadi idola saya waktu itu.
Pengalaman dan persekitaran adalah sumber utama penulisan saya. Bagi saya, penghayatan yang tajam amat perlu bagi seseorang penulis untuk melahirkan sesebuah karya yang baik. Dari pembacaan yang banyak, melakukan perbandingan demi perbandingan antara karya-karya yang baik, mampu memiliki pesepsi yang halus, menguasai nilai-nilai estetika, serta menerapkan falsafah yang dapat difikirkan oleh khalayak pembaca, itulah yang cuba saya garapkan ke dalam setiap karya cerpen saya. Justeru, apa yang saya mahu ialah supaya karya saya hidup dan bergerak, tidak statik beku dan kaku.
Alhamdulillah, walaupun cerpen-cerpen saya tidak pernah mendapat anugerah peringkat kebangsaan, namun saya sangat bersyukur apabila kumpulan cerpen saya Malam Seribu Malam turut menjadi pilihan di National Library of Australia dan kebanyakan perpustakaan di US dan Indonesia (sumber dari internet) serta menjadi bahan kajian pelajar di National University of Australia. Itupun sudah sangat besar bagi saya.

Catatan Penulisan Puisi
Apa yang dicari oleh penyair? Begitulah antara banyak pertanyaan yang saya terima, malah saya juga pernah mengajukan soalan yang sama kepada beberapa orang rakan penyair. Rata-rata jawapannya ialah, penyair mencari dirinya yang hilang! Jawapan yang menuntut saya memeras fikiran.

Apakah yang dimaksudkan dengan diri yang hilang? Rata-rata saya melihat mereka riang, gembira malah tidak melihatkan ada kehilangan yang mereka maksudkan itu. Atau, seperti miraj di hadapan mata, mereka mahu memasukinya, lantas apabila kian didekati, miraj itu kian menghilang dan kemudian mereka kejar lagi untuk menggapainya semula. Mungkin, yang bersifat niskala itulah yang dikejar oleh sesetengah penyair! Atau, mungkin juga mereka mencari nilai ‘keakuan’ dalam diri mereka. Apapun, bagi saya semua ini bersifat niskala, lalu wujudlah sajak-sajak yang dikatakan menganut aliran absurd, surrealisme mahupun realisme.

Lalu saya pun bertanya diri sendiri, apa pula yang saya cari dalam dunia kepenyairan ini? Jawapan saya mudah saja. Saya hendak berpuisi, lalu saya berpuisi. Saya tidak berpegang pada mana-mana aliran. Terpulanglah kepada peneliti sastera hendak mereka katakan apa saya ini. Tujuan saya hanya satu, berpuisi! Dan, ada beberapa perkara yang menolak saya untuk meneruskan kesungguhan ini.

Pertama: saya telah melakukan pembaziran waktu yang cukup lama, yang sepatutnya dapat saya garap dan himpunkan sebanyak mungkin hasil karya penulisan kreatif yang mula saya ceburi yakni sejak usia saya 17 tahun. Meski sempat menerbitkan kumpulan cerpen perseorangan dan kumpulan bersama, saya kemudiannya telah menyepikan diri selama berbelas tahun, sehinggalah saya tidak upaya lagi mempertahankannya. Akhirnya, saya kembali menulis, berkarya dan berpuisi. Ada soalan, mengapa saya lama tidak menulis? Sukar untuk menjawabnya..

Kedua: Ada rasa yang meronta, entah bagaimana munculnya pun, saya tidak tahu. Ia lahir dari jiwa atau sukma, membawa kepada fikiran, ditolak pula oleh ransangan tubuh untuk melengkapkan kepada penyempurnaan hasil sesebuah sajak. Saya merasa satu keajaiban setiap kali berpuisi, seperti seorang ibu yang melahirkan seorang bayi, bukan merasa seronok tapi nikmat kesakitan itu yang membawa kepada kepuasan batini. Kerana setiap kali saya berpuisi, saya akan merasai jerih dan payahnya, menggendong dengan beban fikiran yang sarat, sebelum mampu saya melahirkannya.

Ketiga: Ya, saya juga tidak terlepas daripada ingin mencari, menggali, meneliti, mengungkap, memberi dan berkongsi. Kalaulah melalui berpuisi, saya mampu mendekati khalayak pembaca saya, mengungkap tentang kebesaran dan keagungan al-Haq, apakah yang lebih indah selain berupaya membuka minda mereka untuk turut memikirkan apa yang saya fikir. Kalau saya meraba-raba dalam kegelapan pula, saya mengharapkan ada khalayak yang dapat membantu saya menerangkan kegelapan itu. Pesan arwah ayahanda saya, menelusuri jalan yang lurus itu mudah tetapi sangatlah tidak mudah. 

Mengapa?
Keempat: Pintu dunia kepenyairan ini sudah terbuka luas dan saya telah memasukinya!

Demikianlah, antara sebab saya berada di dunia penulisan kreatif. Saya berdoa, di samping berharap supaya dalam diri saya sentiasa ada ketenangan, panduan dan dorongan untuk terus berkarya dengan hasil yang lebih tulus, mulus dan qudus. Kalau boleh, biarlah seperti titisan embun yang gugur di dinihari, berkaca, dingin malah syahdu mengalirkan zikir untuk kembali naik ke atas, insyaallah. Maha Suci Rabbmu yang mempunyai kekuatan dari apa yang mereka katakan, semoga kesejahteraan dilimpahkan ke atas para Rasul dan segala puji bagi Allah, Rabb seru sekalian alam.

Biodata Penulis

Rosmiaty Shaari dilahirkan di Teluk Intan, Perak. Mendapat pendidikan hingga memperolehi Sijil Tinggi Persekolahan. Mengikuti Pengajian Seni Kreatif di Universiti Sains Malaysia tahun 1983/84. Pernah menjadi Editor di Teks Publishing/Singamal Publishing (1985-1989), Editor di Marwilis Publisher (1990-1994), Free Lance Editor bagi Flo Enterprise, Penerbit Karyawan, Penerbit S. Abdul Majeed dan Penerbitan Murni hingga kini. Antara karya yang telah diterbitkan ialah antologi cerpen persendirian Malam Seribu Malam (Teks Publishing,1988), antologi cerpen bersama Mannequin (Kerajaan Negeri Selangor, 1986), kumpulan puisi bersama Temoh Tasik Kenangan (Karyawan Pk, 2010), kumpulan puisi bersama Kampung Bandar Dalam (2010), kumpulan puisi bersama KEMALA - Meditasi Dampak 70 (Insandi, 2011). Karya-karya beliau turut dimuatkan di majalah Dewan Sastera, Dewan Pelajar, Jelita, akhbar Minggun Malaysia, Berita Minggu, Siasah, Horison Online, E-Sastera, Blog Penyair Nusantara dan lain-lain. Kumpulan puisi/sketches bersama Azad (putera ke-2 beliau) berjudul ...dari hitamputih menjadi zarah merupakan kumpulan puisi perseorangannya yang terbaru diterbitkan oleh I Man Creative (2011). Antara antologi yang bakal diterbitkan ialah antologi puisi bersama 15 penyair wanita Malaysia di senggarakan oleh Rajeswari Jayaraman, antologi cerpen bersama empat cerpenis wanita Malaysia/Indonesia disenggarakan oleh De Kemalawati (Sasterawan Aceh) dan antologi puisi bantah PPSMI disenggarakan oleh Rosan Azen Md Rasep.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...