(dr.talibsamat@yahoo.com)
Kira-kira jam 12.20
malam, 7 November 2012, saya
menerima panggilan telefon daripada anak
Azim Saleh yang menceritakan bapanya
baru saja meninggal dunia. Hal ini
menyebabkan saya teringat betapa beberapa bulan lalu saya ada menghantar mesej SMS tetapi tidak berjawab. Beliau lama sebelum itu
ada menceritakan masalah penyakit jantung
yang dialaminya. Jenazahnya dikebumikan pada 7 November 2012 di kampung
isterinya di Rembau, Negeri
Sembilan.
Sepanjang hayatnya selama 53 tahun, beliau banyak menghasilkan
karya-karya sastera berupa
cerpen,puisi,rencana,skrip,lirik lagu dan siri cerita kanak-kanak yang terbit di pelbagai media massa
serta antologi bersama penulis lain yang
sezaman dengannya.
Puisinya yang berjudul
“Pusar Sejarah” yang tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia keluaran 29 Ogos 1993 memenangi
hadiah sagu hati dalam penilaian Hadiah Sastera
Utusan Melayu-Public Bank 1993 dan termuat dalam antologi Sungai Kasih: Suara 3 terbitan
Utusan Publications and Distributors Sdn.Bhd pada tahun 1994.
Puisi “Pusar
Sejarah” karya Azim Saleh yang merupakan karya terbaik beliau
berbunyi seperti berikut:
Nobat nafiri adalah saksi sumpahnya
pada rahsia
pertabalan batin yang merakamistiadat penjajahan.
tubuhnya terasa kembang dengan
darah kuning.
Kali ini tanpa peradaban dia
melayah dengan sayap emas-
mengarak mahkota yang pernah
terhunjam ke limbah.
segala fatwa habis disanggah oleh
hukum pertuanannya.
Setelah puas bertemasya menghimpun
karun di gua labadia mengukir keranda.
Tak perlu baginya
bergalas adat atau memungut dastar
yang terjatuh
kerana pada anggun darjat, nilai
mohor di kakinya
jauh lebih mulia dari nyawa sekalian
warga marhaen.
pendaulatan si petualang
perampas tanah-tanah lapang.
seluruh warga marhaen telah mula
mengasah akal untuk berjuang
mencantas ketaksuban
menderhaka demi keadilan !
Panel penilai Hadiah Sastera Utusan
Melayu-Public Bank 1993 yang terdiri daripada
Prof. Dr. Mohd. Taib Osman (pengerusi), Prof. Madya Kamaruzzaman A Kadir, Prof. Madya Abdullah Tahir, Prof. Madya Siti Zainon lsmail dan Haji Hamzah Hamdani
dalam laporannya menyebutkan, Ini
berbeza dengan gaya penyampaian sajak “Dendam Angin Menggegar Bulan” oleh Fazli Osman, ” Kita dan Kijang Emas ltu” oleh Zaen Kasturi, “Khalayak Sejagat “ oleh lmlan Adabi, “Musim Sepi” oleh Hasidah Disan dan “Pusar Sejarah” oleh
Azim Salleh.
Saya terhutang budi kepada
beliau kerana sewaktu beliau menjadi editor buku di Karisma Publications
,beliau bersusah payah
menguruskan proses penyuntingan dan penerbitan
kumpulan drama pentas dan televisyen saya yang berjudul Subuh untuk bacaan
umum dan keperluan kursus di UiTM, Shah
Alam,Selangor.
Warisan dan
sumbangan abadi beliau yang terbesar
kepada dunia kesusasteraan
Melayu ialah ikut bersama saya menyelenggarakan antologi puisi Tsunami: Rakaman Sejarah Ngeri
yang menghimpunkan ratusan puisi tentang peristiwa Tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 yang
menggegarkan seluruh dunia. Beliau berusaha mencarikan penerbitnya di Kuala Lumpur
iaitu Penerbit Karyawangsa Sdn. Bhd. ltulah satu-satunya buku puisi tsunami yang
pernah terbit di bumi Malaysia pada tahun 2005.
Allahyarham Azim
Saleh pernah berlakon dalam drama pentas
“Dosa Demang” karya dan
arahan Rahman Shaari pada tahun 1983 di Sudut
Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka yang memperlihatkan minatnya yang mendalam
kepada dunia lakonan drama pentas
dan berbakat juga dalam penulisan skrip
drama radio. Beliau pernah membawa saya
menjadi tetamu suatu program radio di Radio Selangor dan Seremban pada
tahun 1990-an yang
berkaitan bidang penulisan dan dunia kesusasteraan.
Sesuatu yang tidak mungkin
saya lupakan ialah beliau ada menulis esei bertajuk
“Sejambak Kenangan Bersama Dr. Hj. Talib Samat” yang tersiar dalam majalah Dewan Sastera (2007) yang mengulas kenang-kenangan bersama
saya sepanjang melayari dunia sastera sejak terlibat dengan RANTAI (Rangkaian
Penulis Ibu Kota) atau KALAM (Persatuan Penulis Kuala Lumpur).
Meskipun pada akhir hayatnya
beliau berhijrah ke Rembau, Negeri Sembilan, saya sering
juga menziarahinya sewaktu pulang ke Johor atau jika ada urusan lain di Negeri Sembilan sebagai
tanda persahabatan atau bertanya khabar sementara ada hayat di kandung badan . Kali terakhir menemuinya ialah sewaktu saya berselisih jalan dengannya
di RTM sekitar bulan
Mac 2012 yang lalu sewaktu
menghantar surat undangan kepada
pihak tertentu di sana tentang suatu kegiatan di UPSI. Sesudah itu saya tiada menemuinya lagi sehinggalah mendapat berita tentang
kematiannya menerusi panggilan telefon
pada jam 12.20 malam, 7 November 2012.
Innalillah hiwainna ilahiraji'uun...
ReplyDeleteSalam...terima kasih di atas posting ini. Patutlah sekian lama saya tidak lagi mendengar khabar berita tentang Pak Cik Azim, rupanya beliau sudah tiada. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin.
Jasa baiknya membimbing dan menunjuk ajar serta menyiarkan karya-karya saya di Radio bersama En. Adzlan Sulong akan tetap saya hargai selamanya. Terima kasih.
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete