Saturday, 25 June 2011

RATNA LAILA SHAHIDIN

Dilahirkan pada 20 Mac 1966 di Lenggong, Perak dalam keluarga petani. Dia mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Banggol Belimbing, Lenggong. Kemudiannya mendapat tawaran kelas Rancangan Khas di Methodist Girl School Ipoh. Sebaik sahaja tamat tingkatan lima, dia mengikuti pengajian tingkatan enam di Sekolah Menengah Clifford Kuala Kangsar.

Pada tahun 1986-1989, dia menyambung pengajian di Universiti Malaya dalam jurusan Penulisan Kreatif dan Deskriptif. Akibat kemelesetan ekonomi pada tahun-tahun tersebut, dia mengambil keputusan untuk menyambung pengajian Diploma Pendidikan di Institut Pendidikan Bahasa Antarabangsa (dulunya Institut Bahasa) Lembah Pantai pada tahun 1990. Kemudian, pada tahun 1998, berjaya memperoleh sarjana dalam bidang Sains Pengurusan (Msc. Management) dari Universiti Utara Malaysia.

Ratna pernah bertugas sebagai wartawan di Amir Enterprise dan editor di Penerbitan Fajar Bakti sebelum memulakan karier sebagai guru di Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan. Pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan selama sepuluh tahun dan kini sebagai pensyarah di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Raja Melewar Seremban.

Cetusan awal menulis

Mula menulis sejak bersekolah rendah dalam majalah Bujal dan Utusan Pelajar. Meskipun hidup dalam kepayahan, hadiah ayahnya berupa mesin taip terpakai telah memberikan semangat untuk beliau menulis. Sejak kecil emaknya selalu bercerita saban malam sebelum melelapkan mata. Kesemua elemen tersebut telah menyuburkan minatnya untuk bercerita melalui mata pena.

Pada tahun 1984, beliau menjadi ahli seumur hidup Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS). Manakala perkenalan dengan penulis, Noriah Sharif telah membuka ruang dan peluang mengikuti aktiviti teater dan berpuisi di daerah Kuala Kangsar.

Mempunyai dua puteri yang masing-masing sedang menuntut di instituisi pengajian tinggi. Menulis memang menjadi minat utama didorong oleh pengalaman zaman anak-anak di tahun-tahun 70-an yang langgas dan mudah. Setelah berkahwin, suaminya memberi galakan untuk terus menulis meskipun sangat berbeza latar belakang pendidikan dan kerjaya.

Emaknya, Absah @ Mariam Shary tidak pernah ke sekolah kerana pandangan tradisi zaman yang tidak memberatkan anak perempuan ke sekolah. Namun beliau telah mencetuskan minat mendalam terhadap sastera dan seni kerana setiap malam sebelum tidur, beliau akan bercerita tentang cerita-cerita rakyat. Ratna tidak boleh tidur tanpa cerita dari emaknya. Arwah ayahnya, Shahidin Hj Mat Dom pula seorang guru permainan hadrah yang sering mencipta lagu berunsur ketuhanan. Gabungan kedua-duanya telah mencetuskan minat Ratna terhadap keindahan seni sastera.


Anugerah yang pernah dimenangi

Ratna pernah memenangi hadiah utama kategori puisi Hadiah Sastera Utusan tahun 2000 dengan puisi “Keberangkatan Ayah”. Puisi tersebut telah diantologikan dalam antologi sajak berjudul Lelaki Dengan Sebilah Pedang Tajam. Kemudiannya pada tahun 2010, puisi tersebut telah dimasukkan dalam antologi Madu Ilmu bagi subjek Kesusasteraan Melayu Tingkatan 4 dan 5.

Puisi Keberangkatan Ayah merupakan cetusan ceritera sedih yang melingkari hidup tatkala tiba-tiba ayahnya dijemput pergi mengadap Sang Pencipta.

Berikut merupakan ulasan panel hakim yang terdiri daripada Dr Othman Puteh (Pengerusi), Prof Madya Rahman Shaari, Prof Madya Amida @ Hamidah Abdul Hamid, Puan Mahaya Mohd Yassin, Drs. Ahmad Fadzil Yassin dan Saudara Zaen Kasturi mengenai sajak tersebut;

“Sajak Keberangkatan Ayah memuatkan nilai kasih sayang yang beriringan dengan nilai keagamaan. Kedua-dua nilai itu diadun dengan saksama, menyebabkan kesenian karya ini berada di tingkat tinggi. Isinya ialah peristiwa kematian ayah, iaitu isinya yang tentu tidak baru dalam pengalaman manusia. Isi yang biasa itu diletakkan dalam bentuk dan gaya yang berkesan sehingga berupaya mengundang pembaca agar melakukan muhasabah diri dalam menerima realiti kehidupan.

Di tangan penyair ini, tema kematian mendapat kedudukan istimewa. Ini dapat dibandingkan dgn puisi Ke Makam Bonda karya Usman Awang yang ditulis dalam dekad 1950-an. Dengan tidak bermodelkan karya Sasterawan Negara itu, pencapaian sajak Keberangkatan Ayah hampir setara dengannya...”

Selain itu, dia mendapat Naib Johan mengarang drama pentas Anti Dadah peringkat negeri Perak 1996; tempat ketiga drama pentas Sayembara Menulis Skrip Drama Pentas Peringkat Negeri Perak 1997; tempat ketiga Sayembara menulis Sajak Peringkat Negeri Perak. 1997; Johan menulis puisi kemerdekaan anjuran Lembaga Pembangun Sastera Perak dengan kerjasama DBP Wilayah Utara 2009 serta tempat ketiga pertandingan menulis cerpen Inter -Varsiti 1990.

Dua kuntum sajaknya terpilih untuk Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan iaitu Ini Ruang Persembahan Sebuah Perjuangan (2000-2004) dan Taman Merdeka (2005-2009. Beliau juga pernah memenangi Hadiah Utama Kategori Puisi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000

Senarai Karya

Cerpen:

Lila (Mingguan Malaysia) 1997; Cat (Harakah) 2010; Pasrah (Jelita) 1997; Hati Bapa dan Adik (Monolog Sasterawan : DBP 1991); Harga Seutas Kalung (Air Mata Gembira: Penerbit Fajar Bakti, 1989); Adik Tak Mahu Ke Sungai Lagi dan Kubunuh Sepi Ibu (Esok Yang Hilang)


Puisi:
Daerah Singgah (Jelita) 1995; Ceritera Kepada Anak-anak Merdeka (Johan menulis puisi kemerdekaan Perak tahun 2009; Dewasa (Akhbar Watan); Ini Ruang Persembahan Sebuah Perjuangan (Aksara Merdeka); Taman Merdeka (Jamung Merdeka) Keberangkatan Ayah (Lelaki Dgn Sebilah Pedang Tajam & Madu Ilmu); Bukalah Pintu dan Tingkap Itu dan Namanya Mariam: Dedikasi untuk ibuku (Ratib 1000 Syair).

Drama Pentas:
Genta Bejat dan Cerita Dari Sebuah Lorong

Selain menulis cerpen dan puisi beliau juga turut menghasilkan rencana dan pernah disiarkan dalam Mingguan Wanita, Mingguan Perdana, Berita Minggu, Radio Perak, Bujal, Dewan Siswa, Sarina, Utusan Pelajar dan beberapa penerbitan lain.


2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...