Berasal dari Gunung Semanggol, Perak dan dilahirkan pada 26 Ogos 1950. Menetap di Johor sejak 1971 hingga sekarang. Beliau pernah menjadi guru di Sek. Keb. Felda Sungai Sayong, Kulai dan Sek. Men. Sultan Ibrahim, Kulai.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sek. Keb. Gunung Semanggol dan Sek. Men. King Edward VII Taiping. Kemudian mengikuti kursus Perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (1969-1970). Mengikuti kursus Perguruan Khas dalam Bidang Pendidikan Seni di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras (1976). Melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat ijazah di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada tahun 1988. Pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Mohd. Khalid, Johor Bahru (1984 – 1998). Kini bertugas sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Batu Pahat, Johor.
Dalam bidang penulisan, beliau pernah memenangi Hadiah Ketiga Peraduan Mengarang Cerpen Esso-GAPENA (1983) dengan cerpen berjudul ‘Pak Su’. Pada tahun 1984 memenangi Hadiah Kedua Peraduan Mengarang Cerpen Esso – GAPENA ke-V1 dengan cerpen berjudul ‘Terasing’. Seterusnya pernah memenangi Hadiah Saguhati Peraduan Mengarang cerpen Esso-GAPENA ke-V11 dan V111.
Dalam bidang puisi, beliau pernah memenangi Hadiah Khas Puisi Berita Harian 1995, berjudul ‘Pertikaman Tuah dan Jebat’, Memenangi Hadiah mengarang Puisi Hari Kemerdekaan 1989 berjudul, ‘Di Atas Mimbar Merdeka’ dan Hadiah Puisi Hari Kemerdekaan 1991, berjudul ‘Membina Taman’. Di samping itu, dia juga memenangi Hadiah Utusan-Public 1997, untuk puisi eceran berjudul, ‘Hujan Melebat Dalam Dirimu’ dan Hadiah Sastera Darul Ta’zim 1995 dan 1999. Pada tahun 2009, beliau menerima Anugerah Sastera Darul Ta’zim bagi kategori kumpulan puisi perseorangan, ‘Keris Sebilah Itu’. Pada tahun 2007 memenangi Anugerah Sastera Perdana bagi Kategori Puisi Eceran dengan puisi berjudul ‘Terlalu’.
Buku beliau yang pernah diterbitkan berupa kumpulan cerpen ‘Perjalanan ke Z’ (DBP, 1992), sebuah novel berjudul ‘Gerimis Perkahwinan’ (Marwilis Publisher, 1992), kumpulan puisi ‘Melihat kesunyataan’ (Persatuan penulis Johor, 2000) dan ‘Keris Sebilah Itu’ (Citra Kurnia, 2008).
Dalam antologi cerpen bersama beberapa karyanya terdapat dalam Sayembara IV, V, VI dan VIII terbitan DBP, LQ, (DBP , 1991), ‘Fenomena’ (DBP, 1992), dan ’Jalan Ke Kota’ (DBP 1991). Manakala puisi pula terdapat dalam antologi bersama ‘Di Atas Mimbar Merdeka’ (DBP, 1989), ‘Suara Anak Merdeka’ (DBP 1992), ‘Bunga Liar ‘(PPJ, 1991), Gema Membelah Gema 8 ,10 dan 11 , Iqrak (PPJ 1986), ‘Paraduk Merah’, (PPJ 1990), ‘Membentang Puisi’ (PPJ 1986), ‘Sematan’ (1985), ‘Taman Bahasa Ibunda’ (DBP 1995), ‘Dari Rosmaria ke Nor Syadana’ (PPJ 1994), Potret (DBP: 2006) Pusaka Bangsa (DBP Wilayah Selatan: 2006), Suara Selat Tebrau (PPJ:2006), Suara Bukit Timbalan (PPJ:2007), Suara Ledang (PPJ:2009), Bicara Hujung Benua (PPJ:2009), Bahtera Ke Selatan (DBP Cawangan Sabah: 2009) Puncak Selatan (PPJ: 2010), Suara Satu Malaysia (PPJ:2010), Semerbak Johor Lama (PPJ:2011).
Beliau bergiat cergas dalam Persatuan Penulis Johor (PPJ) sejak tahun 1974 sebagai Ahli Jawatankuasa dan dalam tahun 1888 hingga 1991 menjadi Setiausaha Dua. Pada tahun 1996 menjadi Setiausaha Satu hingga pada tahun 2001. Kini sebagai Ahli Jawatankuasa di samping memegang portfolio Pengerusi Biro Penerbitan Persatuan.
Dalam PPJ beliau bertanggungjawab mewujudkan risalah PPJ berjudul ‘PITA’ yang mula diperkenalkan dalam tahun 1985 dan menerbitkan kembali majalah ‘DUPA’ dan JURNAL PPJ.
Beliau pernah mengikuti sesi Penataran Sastera di Indonesia pada tahun 1992 bersama dengan Wan Ahmad Ismail dari Terangganu atas pembiayaan DBP. Pada tahun 1997 berpeluang mengikuti Perkampungan Penulis GAPENA II, selama 12 hari di Riau dan menyertai Seminar Persuratan Nusantara ke-IX di Padang, Sumatera.
Sebagai aktivis sastera banyak melibatkan diri dalam memberikan ceramah dan motivasi penulisan sajak dan cerpen khususnya untuk pelajar-pelajar sekolah dan penulis muda. Dalam PPJ beliau menggalakkan sesi ‘Sembang Pagi’ yang memfokuskan perbincangan tentang proses kreatif dan bicara karya penulis-penulis PPJ.
Beliau juga banyak terlibat dalam membentangkan kertas kerja tentang sastera anjuran persatuan dan juga Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan dan DBP pusat.
Dalam Kembara Puisi Darul Ta’zim 2002 beliau adalah di antara dua orang penulis PPJ (bersama Allahyarham Gunawan Mahmud) yang berkesempatan mendeklamasikan puisi di daerah-daerah seperti Kluang, Segamat, Kota Tinggi, Pontian dan Batu Pahat.
Pada tahun 2009 telah menerima Anugerah Penulis Johor daripada Persatuan Penulis Johor (PPJ).
ini pensyarah saya !
ReplyDelete