Thursday 29 December 2011

PENA MUTIARA


Oleh Raja Yusof Ariffin

Pena Mutiara yang lahir pada 10 Julai 1952 menulis cerpen, puisi, skrip drama radio dan rencana. Beliau juga salah seorang tenaga penting dalam penubuhan sebuah persatuan penulis di daerah Krian pada 1972 dengan nama ringkasnya, PERENTAS yang masih aktif. 
Berkelulusan Malaysia Certificate Education pada 1969, nama sebenar Pena Mutiara ialah Ahmad Sabki Haji Tahir. Kini beliau bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Wilayah Persekutuan. Banyak karya Pena Mutiara yang telah tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah terkenal tanah air serta dibukukan. 
Antara bukunya ialah kumpulan cerpen Cinta Seorang Seniman (1984), Perginya Seorang Seniman (1989), Dunia Seniman (1991) dan Mangsa (2000). Kumpulan puisinya pula ialah Bunga Desa (1995) dan Perempuan (2000). 
Karyanya juga dimuatkan dalam antologi Kehadiran Yang Dilupakan (1989), Surat Dari Kuala Lumpur (1990), Tina dan Lambaian Nusa (1991), Suara, Fenomena dan Hantaran (1992), Di Pelabuhan Senja (1993), Sembilu Pengorbanan dan Tanah Dusun (1994) serta Anak-Anak Suria (1997). 
Setakat ini, Pena Mutiara telah memenangi Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank (1989, 1990, 1991 dan 1993). Beliau juga diberikan Anugerah Penyair Perak pada 1995. Pada 2003, Paduka Seri Sultan Perak menganugerahi beliau Pingat Jasa Kebaktian (PJK). 
Pena Mutiara mula menulis pada akhir 60-an. Mungkin faktor beliau terus berkarya ialah prinsipnya dalam dunia penulisan, iaitu menganggap menulis sebagai amanah Allah. 
Menurut Pena Mutiara, beliau bersyukur kerana dianugerahi Allah bakat menulis. Beliau telah memanfaatkan sebaik mungkin bakat tersebut dengan menjadikan bidang penulisan sebagai wadah untuk mendidik bangsa dan membina negara. 
"Sibuk menyempurnakan kerja hakiki tidak harus dijadikan batasan untuk seseorang penulis berkarya. Saya juga sibuk dengan tugas harian di pejabat. Tapi, masih ada masa untuk menulis,” tegasnya yang telah menunaikan ibadat haji pada 2005. Beliau menganggap peranan penulis pada zaman sains dan teknologi maklumat hari ini amat berat serta mencabar berbanding masa lalu. 
"Penulis hari ini bukan saja perlu menggunakan kemudahan teknologi maklumat dengan sebaik mungkin, malah menjadikan bidang penulisan sebagai wadah berdakwah demi kebaikan, kesejahteraan dan kebahagiaan. Hasil karya penulis harus jelas dan mudah difahami pembaca,” tegas Pena Mutiara lagi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...