Sunday 8 May 2011

AHMAD BOESTAMAM

DATO’ AHMAD BOESTAMAM
Wartawan, Sasterawan dan Pejuang Kemerdekaan (1920-1983)
Oleh Zabidin Hj Ismail

Allahyarham Dato’ Haji Ahmad Boestamam, sasterawan dan pejuang kemerdekaan tanah air yang banyak menghabiskan hidupnya untuk bidang-bidang tersebut hingga meninggalkan nama yang harum di kalangan di kalangan rakyat negara ini.

Beliau merupakan putera besar tanah air dan tokoh kebangsaan yang bersama-sama memperjuangkan kemerdekaan negara pada zaman penjajahan British dan turut mengisi kemerdekaan negara dengan buah fikiran kerakyatannya yang tersendiri.

Nama sebenarnya Abdullah Thani Raja Kechil dan dikenali juga dengan nama pena, Ruhi Hayat di bidang penulisan. Anak kelahiran kampung Behrang Ulu, Tanjung Malim, Perak ini dilahirkan pada 30 November 1920. Nama Ahmad Boestamam lebih tersohor di arena politik tanah air sehingga menenggelamkan nama asalnya.

Beliau mendapat pendidikan awal sekolah Melayu di kampungnya setakat darjah lima dan pada tahun 1933 menyambung pelajaran di sekolah Inggeris iaitu Sekolah Anderson, Ipoh sehingga darjah tujuh.

Ketika di sekolah Anderson beliau gagal dalam peperiksaan “Junior Cambridge” tetapi berkat kegigihan dan usaha yang tidak mengenal erti putus asa, beliau menebus kegagalan itu dengan lulus QT (Ujian Kelayakan) diikuti OSC (Sijil Persekolahan Seberang Laut) dan Highest School Certificate (HSC) secara belajar sendiri antara tahun 1963-1967 di dalam penjara sewaktu ditahan oleh British di bawah akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Seterusnya beliau mempelajari ilmu undang-undang bagi memperolehi Ijazah Barrister at Law di Licoln’s Inn London, tetapi usaha ini patah di tengah jalan. Sebaliknya beliau lulus dan memperolehi diploma kewartawanan di Premier Journalist School di Kota Inggeris itu pada tahun 1969.

Penglibatannya dalam dunia penulisan dan kewartawanan mematikan cita-cita asalnya untuk menjadi pegawai polis. Beliau mula bergiat di bidang ini sejak tahun 1940an. Sebenarnya, Ahmad Boestamam mula berjinak dalam alam penulisan ketika berusia 15 tahun semasa menuntut di Sekolah Anderson dengan menulis rencana untuk akhbar Saudara yang diterbitkan di Pulau Pinang.

Beliau, pada peringkat awal pembabitan dalam kewartawanan, pernah bekerja dengan akhbar Saudara dan Warta Khas (1940). Sebagai sidang pengarang akhbar Saudara, beliau  dibayar gaji sebanyak RM15 sebulan. Kemudian bertugas pula dengan akhbar Majlis pimpinan Ibrahim Haji Yaakob (yang juga pemimpin Kesatuan Melayu Muda [KMM]) dan Abdul Rahim Kajai. Tokoh-tokoh ini bukan sahaja memimpin beliau di bidang penulisan dan kewartawanan malah membimbing beliau di arena politik.

Pada tahun 1941, beliau berjaya bekerja bersama-sama Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dengan Utusan Melayu di Queen Street, Singapura ketika Abdul Rahim Kajai sebagai Ketua Pengarangnya. Apabila Ibrahim Yaakob membeli Warta Malaya beliau bekerja pula dengan akhbar berkenaan di samping menjadi Setiausaha Agung KMM.

Pada tahun itu juga beliau ditahan dibawah ISA dan dibebaskan pada 15 Februari 1942.

Sewaktu pemerintahan Jepun, Ahmad Boestamam bertugas dengan badan propaganda Jepun (Sesden Ka ) sebagai penapis cerita bangsawan Melayu. Beliau juga pernah menjadi sidang pengarang akhbar Warta Perak di bawah pimpinan Ahmad Noor Shukor di Ipoh.

Pada waktu yang sama beliau terbabit menubuhkan gerakan bawah tanah yang dikenali Gerakan kiri Tanah Air (KITA) bersama-sama Zulkifli Ownie, Haji Ramli Said dan Mokhtar Albakri yang ada hubungan dengan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA). Gerakan ini bersellindung disebalik nama Barisan Pemuda Melayu dan mengadakan latihan tentera ala Jepun, Barisan Pemuda Melayu digunakan untuk melindungi KITA.

Beliau terbabit juga dalam penubuhan KRIS ( Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung ) yang bercita-cita untuk membebaskan Tanah Melayu dari cengkaman British dan merdeka serentak dengan Indonesia pada tahun 1945 dengan menubuhkan sebuah negara kesatuan bernama Melayu Raya.

Setelah usaha ini gagal, dan semasa British berkuasa semula, Ahmad Boestamam bekerja pula dengan akhbar Suara Rakyat di Ipoh. Menerusi akhbar berkenaan, beliau menghentam Inggeris sekeras-kerasnya kerana menindas rakyat negeri ini. Lantaran itu, di pejabat akhbar tersebut, tercetuslah buah fikiran menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Melayu Malaya (PKMM) pada tahun 1945.

Ahmad Boestaman dilantik sebagai ahli jawatankuasanya. Lima bulan kemudian beliau mengasaskan API ( Angkatan Pamuda Insaf) yang menjadi sayap pemuda PKMM dengan slogan perjuangan “Merdeka dengan Darah”. (Ada setengah rakan beliau memberitahu penulis bahawa API adalah singkatan daripada Angkatan Penghalau Inggeris).

Di samping itu, beliau berusaha pula menyatukan badan-badan berhaluan kiri dengan menubuhkan PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat). Beliau juga terbabit mengemukakan “Perlembagaan Rakyat” yang berasakan 10 prinsip rakyat kepada pemerintahan Inggeris. Perlembagaan itu digubal oleh MDU (Malayan Democratic Union) selepas dibincang bersama-sama oleh parti golongan kiri. Bagaimanapun, Inggeris tidak mengiktiraf perlembagaan tersebut sebaliknya menyediakan perlembagaan baru yang lebih progresif daripada gagasan Malayan Union.

Pada Julai 1948 apabila darurat diistiharkan, parti-parti politik kiri telah diharamkan oleh Inggeris termasuk API. Ramai pemimpinnya ditangkap dan ditahan di bawah ISA dan Ahmad Boestamam tidak terkacuali.

Beliau terpenjara sehingga bulan Julai, 1955. Ketika dalam tahanan beliau menulis beberapa buah cerpen dengan menggunakan nama pena Jiwalara.

Ahmad Boestamam dikenali sebagai tokoh politik yang keras hati dan gigih. Justeru, sebaik sahaja bebas dari tahanan, beliau masih sanggup menubuhkan Parti Rakyat Malaya (PRM) iaitu pada 1 November 1955. Sikap radikal dan menentang arus yang dimiliki oleh Boestamam telah menakutkan teraju pemerintahan negara dan beliau sekali lagi merengkuk di penjara di bawah ISA pada tahun 1963 hingga 1967.

Namun ada hikmahnya beliau terpenjara. Semasa tahanan ke-3 inilah, Boestamam mampu melahirkan novel “Merangkaklah Senja Menutup Pandangan” yang menggambarkan pahit-getir yang dirasainya di dalam penjara.

Allahyarham Dato’ Ahmad Boestamam tersohor sebagai pemidato yang disegani dan dianggap oleh rakan dan lawan sebagai agitator (pembakar semangat) yang berani. Dan dari mulut Allahyarham perkataan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Pertama kali diucapkan oleh seseorang yang berbangsa Melayu dalam usahanya membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah.

Justeru, beliau yang memiliki jiwa merdeka dengan semangat membara, pada tahun 1959, Allah swt telah mengizinkannya menduduki kerusi Parlimen Setapak, Selangor atas tiket Front Sosialis (cantuman PRM dan Parti Buruh) dengan mengalahkan calon Perikatan, Datin Paduka Aishah Ghani (Sekarang: Tan Sri).

Tetapi pada tahun 1974 beliau gagal merebut kerusi Parlimen di Perak atas tiket PEKEMAS dan meletakkan jawatan sebagai pengerusi parti itu pada 1 Ogos 1978. Namun demikian, beliau kembali ke arena politik dengan menyertai Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PRSM) pada tahun 1980 sehingga akhir hayatnya.

Ahmad Boestamam dianggap sebagai pejuang dalam dunia politik. Namanya turut tercatat dalam buku-buku sejarah politik seperti Encyclopedia of World Politics karya Walter Theimer yang disunting dan disemak semula serta diperluaskan oleh Peter Campbell di halaman 278 di bawah tajuk “Malaya”.
Demikian juga Sasterawan Negara Dato Dr Usman Awang pernah mengungkap biografi Boestamam dalam bentuk puisi berikut :

“Selama lebih dari 5,745 hari telah direbahkannya dalam penjara” selama ribuan hari lagi dipikulnya dalam beban rasa dan kesulitan kehidupan bersama keluarga. Namun, tidak ada perkataan menyerah untuknya. Ahmad Boestaman-putera besar tanah air adalah contoh dari suatu kegigihan dan API yang dinyalakannya dulu, kini telah menjadi unggul sejarah yang tidak kunjung padam.
(Dewan Sastera, April1983)

Begitulah Boestamam yang meniti sejarah hidup yang panjang. Beliau menulis lebih dahulu dari Usman Awang, Shahnon Ahmad dan A Samad Ismail. Begitu juga penglibatannya dalam dunia politik tanah air, terlebih dulu dari Tunku Abdul Rahman , Tun Razak atau Tun Dr Ismail. Tetapi kegiatannya yang dulu-duluan itu hanya memberikan taraf kepadanya satu tokoh yang besar, namun dari segi pencapaiannya beliau belum juga berhasil menjadi Usman Awang, Shahnon Ahmad, A Samad Ismail, Tunku, Tun Razak atau Tun Dr. Ismail. - analisis Allahyarham Zakry Abadi tentang Ahmad Boestamam dalam Mastika dua dekad yang lalu.

Ahmad Boestamam sebenarnya menguasai tiga bidang yang diminatinya. Baik sebagai ahli politik, wartawan mahupun sasterawan. Sesungguhnya beliau memperlihatkan komitmen tinggi dalam perjuangan yang terlalu panjang dan penuh dengan cabaran serta dugaan. Beliau amat menyakini dan mempercayai konsep atau gagasan membela golongan marhean. Gagasan beliau jelas terpancar menerusi karya yang dihasilkan sama ada dalam genre puisi, drama, cerpen, esei, memoir, autobiografi mahupun novel.

Sebagai seorang sasterawan prolifik, Ahmad Boestamam telah menghasilkan sebanyak 33 judul buku.

Novel: Hilang Gelap Timbul Terang ( 1956), Hayati (1958), Kisah Semalam (1958), Pacar Merah Malaya (1959), Lorong Seribu Liku (1964), Merangkaklah Senja Menutup Pandangan (1964), Putus Sudah Kasih Sayang (1966), Garis Hitam membelah Langit (1966), Kembang Layu Di Tapak Tangan (1966), Api dan Air Mata (1967), Api Itu Masih Membara (1967), Konfrontasi (1967), Sorong Makan Tarik Balik (1967), Ali Sastro (1968), Budi Baik Dikenang Orang (1968), Malam Tiada Berbintang (1968) dan Rumah Kaca Digegar Gempa (1969).

Buku puisi : Dendang dari Neraka (1967);

Esei/Kritikan: Imej dan Cita-cita; Kertas Kerja Hari Sastera 80;

Memoir :Tujuh Tahun Malam Memanjang (1976), Memoir Seorang Penulis (1979);
Autobiografi: Merintis Jalan ke Puncak (1972),
Biografi : Dr. Burhanuddin : Putera Setia Melayu Raya (1972) dan Datuk Onn Yang Saya Kenal (1979)
Buku Umum: Bagaimana menjadi Seorang Penulis (1979) dan Sorotan Sekilas Malay Delima (1981).

Beliau juga pernah menterjemah beberapa buah buku luar negara seperti Pemberontak di Lembah Nil, Politik Afro Asia, Nasionalisme Melayu karya Prof. William R. Roff dari bukunya “ The Origine of Malay Nationalism”.

Sesungguhnya, bidang politik dan penulisan telah mendarah daging dalam jiwanya yang tabah, keras hati dan tekun itu. Kata Sasterawan Negara Allahyarham Keris Mas pula ; “Darah senimanlah yang menjadikan Boestamam seorang pemimpin yang perasa dan juga yang menjadikan dia tidak menundukkan kepala atau mengalah dalam perjuangan untuk bangsa dan tanah air walaupun dia sedar perjuangannya sudah berlalu”. (Dewan Masyarakat, Februari 1983)

Anak Perak ini telah dianugerahkan bintang Panglima Negara Bintang Sarawak (P.N.B.S) yang membawa gelaran Dato’ oleh yang Dipertua Negeri Sarawak pada 12 Ogos 1976 dan telah kembali ke alam barzakh menemui Tuhan pada tanggal 19 Januari 1983 di Kuala Lumpur.


Rujukan :

Wajah Biografi Penulis. K.L:DBP
Ramlah Adam (1994) Ahmad Boestamam : Satu Biografi Politik. KL:DBP
Ahmad Boestamam (1979), Memoir Seorang Penulis. KL: DBP
Ahmad Boestamam (1976) Tujuh Tahun Malam Memanjang; KL: Amir Enterprise
Zabidin Hj. Ismail (2010). Pemikiran Politik dalam Novel-novel Ahmad Boestamam. KL: Universiti Malaya Press

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...