Sunday 8 May 2011

M SALEH MAHYAT

M Saleh Mahyat menganggap bidang penulisan sebagai “sandang pangan” (cari makan) di samping menikmati rezeki daripada tugas hakiki. Mula berkecimpung di arena penulisan sekitar penghujung tahun enam puluhan secara berterusan tanpa mengenal erti penat lelah. Nama sebenarnya Md Salleh Mahyat dan terkenal juga dengan nama penanya Musalmah Mesra, Norhayat, Intan dan Sal. Dilahirkan pada 20 Mei 1948 di Kampong Sungai Tiang, Selekoh, Perak dan karya pertamanya berbentuk rencana tersiar di majalah Sinar Zaman (1969) yang menjadi titik-tolak dalam penghasilan pelbagai genre penulisan.

Saleh mendapat pendidikan awal di kampungnya sebelum berpindah ke Sekolah Kebangsaan Kota Setia kemudian memasuki sekolah agama Saadiah, Temoh dan selanjutnya ke Madrasah Irshadiah Batu 26, Bagan Datoh khusus mendalami ilmu Islam dan bahasa Arab. Berbekalkan pendidikan yang diperolehinya, Saleh mula berjinak-jinak dengan penulisan berita, rencana dan puisi. Berkat asuhan sendirian itu, dia melebarkan jenis penciptaan karya ke penulisan cerpen dan novel. 

Bakatnya dalam penulisan novel terserlah setelah menerima bimbingan menerusi Bengkel Penulisan Kreatif (novel) Wilayah Utara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) / GAPENA di Pulau Pinang selama dua minggu pada tahun 1980. Justeru sejumlah 40 buah (setakat 1993) novel remaja dan kanak-kanak diterbitkan oleh pelbagai syarikat penerbitan termasuk DBP. Novel kanak-kanak berjudul Korban Lubuk Buaya (DBP-1980) berjaya diulang-cetak sebanyak dua kali.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...