Sunday, 8 May 2011

A.R KAMALUDIN


Wartawan Legenda dari Lumut
oleh Zabidin Hj Ismail

Pertama kali saya mengenali AR Kamaludin ketika berbual menerusi telefon sekitar awal bulan Mac 1993.  Saya menghubungi beliau bersebab iaitu untuk mengundangnya berceramah mengenai penulisan dalam Majlis Gebang sastera 1 di Kampung Telaga Nanas, Sitiawan, Perak yang dianjurkan oleh Persatuan karyawan Perak (Karyawan Pk.).  Ketika itu beliau bertugas sebagai Ketua Unit Sastera dan Budaya di Berita Harian Sdn Bhd Kuala Lumpur.

Meskipun tidak pernah bersua muka sebelum ini, tetapi beliau ramah menerima pelawaan saya.  Kemudian perkenalan kami melebar sehingga bertemu lagi sewaktu Hari Sastera ’93 yang berlangsung di Shah Alam, Selangor pada 4-7 Jun 1993.  Detik sulung bersua muka inilah yang menyematkan tanggapan saya terhadap beliau sebagai seorang yang bersifat ramah tetapi tegas dan kritis.

Nama asalnya bukanlah AR Kamaludin, tetapi nama inilah yang mengangkat dirinya sebagai wartawan tersohor dan pengarang terkenal.  Walaupun beliau banyak menggunakan nama samaran dalam dunia kewartawanan dan penulisan seperti Afida Norham, Anak Desa Perak, Annuar  Hisham, Arkam Noor, Belia Perak, Dian Merah, Joe Martino, Noor kamal, Penuntut Mei dan Zaini Kamal tetapi nama AR Kamaludin serasi dengan kerjayanya.  “AR” berpunca daripada nama bapanya, Abdul Razak dan nama sebenarnya, Kamaludian – Kamaludin bin Abdul Razak.

Anak kelahiran Kampung Baharu, Lumut, Perak ini diputerakan pada 15 November 1938.  Memperolehi pendidikan dasar di sekolah Melayu di kampungnya hingga lulus darjah tiga.  Sesudah itu, beliau meneruskan pelajaran di Anglo Chinese School, Sitiawan hingga tingkatan tiga.  Kemudian beliau meninggalkan bangku persekolahan dan merantau pula ke Seberang Perai.  Di situ, beliau bekerja sebagai Pemungut Jentik-jentik sehingga dinaikkan pangkat sebagai Inspektor Anti-Malaria pada tahun 1958.

Berkat belajar sendiri, beliau lulus Sijil Persekolahan pada tahun 1966 dan diterima bekerja sebagai Pegawai Pertanian Muda di Jabatan Pertanian serta di beberapa tempat termasuk di Kuantan, Pahang.

Ketua Pengarang Bintang Timur


AR Kamaludin mula berjinak dengan dunia penulisan pada tahun 1953 dengan menulis berita untuk Utusan Kanak-kanak.  Seterusnya, pada akhir tahun 50an dan awal 60an, beliau giat menulis esei politik tanah air dan luar negara terutama sewaktu bekerja di Syarikat Utusan Melayu sebagai Penolong Penyunting.

Sekitar tahun 70an pula, beliau dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarang Bintang Timur yang berpangkalan di Pulau Pinang (akhbar tabloid yang pasarannya tertumpu di kawasan utara Semenanjung Malaysia terbitan Utusan Melayu).  Tetapi, pada 1 april 1978 beliau berpindah semuLa ke Utusan Melayu di Kuala Lumpur.

Disamping terbabit sepenuh masa dalam dunia kewartawan yang sentiasa dalam dunia kewartawanan yang sentiasa sibuk mengejar bahan, maklumat, fakta serta mengelolakan beberapa ruangan dalam akhbar yang diulitinya, namun dalam kesibukan itu, AR Kamaludian sempat juga menghasilkan karya sastera terutama genre novel.

Kemampuan beliau menulis novel membuktikan bakat seni yang dipupuk di dalam dirinya berupaya melahirkan bentuk penulisan yang berunsurkan estetika.  Sesungguhnya, tidak ramai wartawan yang mampu melahirkan karya sastera kerana mereka telah diasuh dan sebati dengan budaya mengutamakan fakta serta realiti dalam penulisan.  Gaya penulisan kewartawanan amat jauh berbeza dengan corak penulisan sastera yang lebih menekankan fantasi atau imaginasi walaupun ia digarap kadangkala berdasarkan cerita benar.  Tetapi, AR Kamaludin mampu melakukannya.  Kebolehan anugerah Allah s.w.t. itu telah dipergunakan sebaik mungkin oleh AR Kamaludin yang sekaligus menempatkan namanya dalam senarai novelis tanah air era  60an.

Pembabitannya dalam karya kreatif begitu ketara pada sekitar tahun 60an dengan penulisan pelbagai genre seperti sajak, drama radio, esei sastera, cerpen dan novel.  Novel sulungnya, “Punah” ditulis pada tahun 1967.  Kemudian diikuti pula “Terkopak di mana-mana” (1967) dan “Tuhan Tak Sayang Padaku Lagi” (1968) manakala novel kanak-kanaknya berjudul “Lari Dari Maut” (1967).

Di samping itu, beberapa buah cerpennya telah dibukukan dalam antologi bersama seperti 10 cerpen Masyarakat II (1963)  dan Intan Terpilih (1966).  Drama pula diterbitkan dengan judul “Yang Tiada Syurga” pada tahun 1966.  Bagaimanapun, sumbangan beliau dalam genre sajak tidak begitu menonjol walaupun puisinya pernah tersiar di akhbar-akhbar tempatan.

Pejuang Pena yang Gugur di Medan Kewartawanan    


Kebanyakan tema karya yang dihasilkannya berlegar mengenai isu pembangunan, perpaduan dan kesengsaraan masyarakat khususnya golongan nelayan dan petani.  Beliau mengetengahkan isu kotemporari ini untuk perhatian masyarakat dan pihak tertentu  supaya ianya diberi perhatian sewajarnya.

Tambahan  pula isu berkenaan menjadi topik hangat sekitar tahun 60an yang beliau sendiri terbabit sekurang-kurangnya mendapat berita-berita mengenainya yang saban hari disunting dan kemudiannya disiarkan dalam akhbar.  AR Kamaludin berjaya  mengangkat isu tersebut untuk diterjemah ke dalam karya sastera.

Namun begitu, cintanya terhadap dunia kewartawanan begitu menebal mengatasi dunia sastera.  Kecintaan ini diperlihatkannya apabila beliau menghabiskan hampir tujuh puluh lima peratus  usianya menguliti dunia persuratkhabaran tanah air.  Sekian banyak syarikat akhbar yang pernah menerima khidmat beliau.  Dari Utusan Melayu, Warta Negara (Bintang Timur), Harian Nasional, Berita Harian dan berakhir di Warta Perdana dan Syarikat Khairune Sdn. Bhd.  (MKSB) – selaku Ketua Pengarang yang turut menangani pelbagai penerbitan majalah bulanan seperti Cermin, Wawancara dan Ibu Bapa.

Justeru itu, ada teman-teman wartawan menganggap beliau sebagai seorang pejuang pena yang gugur di medan  kewartawanan.  Beliau memulakan kerjaya sebagai wartawan dan berakhir juga sebagai wartawan.  Prinsip hidupnya berpegang teguh kepada kerjaya kewartawanan.  Beliau tidak mahu memilih kerjaya lain selain wartawan meskipun peluang untuk beralih angin ke bidang lain umpamanya sebagai usahawan terbuka luas.

Lantaran itu, bekas Ketua Pengarah kumpulan Utusan Melayu, Dato’ Mazlan Nordin menyifatkan AR Kamaludian sebagai wartawan tulen yang banyak menaburkan jasa.  Menurutnya, AR Kamaludin seorang yang berjasa dalam bidang kewartawanan kerana selain dapat membimbing orang lain menjadi wartawan, beliau juga menurunkan bakatnya kepada empat anaknya menjadi wartawan (Mingguan Perdana, 14 Mei 2000 Hlm.3).

Kenyataan Dato’ Mazlan itu diakui oleh Prof. Madya Dr Baharudin Ahmad, tenaga pengajar ISTAC yang menyatakan AR Kamaludin adalah gurunya dalam bidang kewartawanan semasa di akhbar Bintang Timur.
 “Terus-terang saya katakan, AR Kamaludin seorang yang baik dan murah hati.  Dia murah hati kepada staf, tidak kedekut wang ringgit mahupun pengetahuan.  Hinggalah saya graduate, dia masih membantu saya.  “(ibid).

Wartawan Lagenda


Ramai lagi yang pernah menerima tunjuk ajar di bidang kewartawanan daripada AR Kamaludin.  Maka, tidak menghairankan di kalangan wartawan muda yang pernah “berguru” dengannya menganggap AR Kamaludian sebagai wartawan lagenda yang sukar dicari ganti.  Gelaran itu menepati dengan unsur-unsur keunikan yang dimiliki oleh AR Kamaludin sendiri selain menjadi wartawan sehingga ke akhir hayatnya.

AR Kamaludian memiliki kebolehan yang pelbagai.  Beliau mampu menyanyi dan pernah memenangi Juara Bintang Radio bahagian lagu-lagu asli sekitar tahun 70an.  Malah beliau juga pernah dikenali ramai sebagai penyampai berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM) semasa menjadi Pengarang di Utusan Melayu.

Kepetahannya berdebat juga telah membawa AR Kamaludian merenangi dunia politik partisan meskipun masih bergiat cergas dalam arena penulisan.  Ini terbukti apabila beliau berjaya menempatkan diri sebagai Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia semasa di bawah kepimpinan Dato’ Suhaimi Haji Kamarudin sekitar awal tahun 80an.  Beliau yang ketika itu begitu lantang dan berani berhujah termasuk pernah berdebat dengan bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang semata-mata mempertahankan prinsip yang didukung oleh Pemuda UMNO mengenai sesuatu isu.

Pembabitan dalam politik partisan ini telah melebarkan kerjayanya dari seorang wartawan kepada Setiausaha Akhbar Ketua Menteri Sabah, Datuk Haris Salleh.  Perlantikan ini berdasarkan kearifannya mengenai seuasana politik Sabah dalam era 80an.  Sebab itulah, walaupun terpisah dengan hiruk-pikuk mesin taip di syarikat akhbar, beliau masih tidak berhenti menulis.  Ketika menjadi Setiausaha akhbar, beliau banyak menyumbangkan artikel mengenai politik semasa ke akhbar Sabah Times dan Daily Express di Kota Kinabalu.

Kehidupan AR Kamaludin rencam, sesuai dengan kebolehannya yang pelbagai.  Selain dikenali sebagai penulis politik yang kritis, AR Kamaludian juga membabitkan diri dengan kepimpinan organisasi sastera.  Beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa PENA dan Ketua Dua GAPENA untuk penggal 1977-1978, sebuah organisasi besar bertaraf nasional.  Pelantikan sebagai Ketua Dua itu membuktikan bahawa beliau juga merupakan aktivis sastera yang dihormati.

Namun segala-galanya sudah berakhir.  Pada tanggal 29 April 2000 jam 8.45 pagi, AR Kamaludin menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tawakal, Kuala Lumpur akibat mengalami penyakit ceriosis hati ketika berusia 61 tahun.  Pergilah seorang wartawan legenda yang telah banyak menabur bakti untuk ibu pertiwi.  Buat beberapa tahun mendatang  terlalu payah untuk kita mencari penggantinya! 

Rujukan:

Eksaiklopedia Malaysiana (Jld.6) Shah Alam : Anzagain Sdn.Bhd. hlm.342 Wajah Biografi Penulis (Edisi Ke-2) 1988. KL:DBP hlm.57-59 
Zakry Abadi 1989. Gapena antara politik & sastera, KL: Penerbitan Keramat Sdn.Bhd 
Tokoh Wartawan Veteran AR Kamaludin meninggal, Mingguan Malaysia 30 April 2000 hlm.12 
AR Kamaludin, wartawan legenda sukar dicari ganti, Mingguan Perdana. 14 Mei 2000 hlm.3 Huzz- Terima kasih daripada keluarga arwah (Pancaindera) Mingguan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...