Friday, 6 May 2011

MOKHTAR MIMI


oleh Zabidin Hj Ismail
Kesempatan bergaul dengan Mokhtar Mimi beberapa tahun ketika saya bertugas di Sitiawan, barangkali dapat merakamkan cebisan pahit getir rencah-rencah kehidupannya sehingga beliau menapak sebagai tokoh penulis yang berketrampilan untuk jangka masa tertentu di negeri Perak Darul Ridzuan.
            Nama sebenarnya ialah Ahmad Mokhtar bin Mohd. Lahir di Kampong Telaga Nenas, Ayer Tawar, Perak pada tanggal 28 Oktober 1945. Menerima pendidikan Melayu dan Inggeris di Sitiawan sebelum melangkah ke kancah kerjaya sebagai anggota tentera. Ketika bertugas di Sabah pada tahun 1966, minatnya timbul untuk menulis. Beliau memulakan penulisannya dengan cerpen Rintihan yang tersiar  dalam akhbar Daily Express. Sesudah itu, akhbar berkenaan menyiarkan beberapa lagi cerpennya secara berturut-turut antaranya; Nantikan Aku Pulang, Leman Gilakan Anak, Nadanya disambar Sedu Pahit dan Ribut Di Gamumu.
            Bakat Mokhtar Mimi bukan sahaja dalam penulisan cerpen tetapi melebar ke genre puisi dan drama pentas. Puisi-puisi beliau sekitar tahun 1966-1967 mendapat tempat di akhbar Daily Express dan Sabah Times. Di Negeri Di Bawah Bayu itulah beliau banyak menempa sejarah. Di Tawau misalnya, Mokhtar buat pertama berlakon dalam teater pada tahun 1968 dengan memegang watak wira bergelar “Swastika” dalam drama Sangkar Madu karya Bakhtiar Sigian Kemudian pada tahun yang sama, berhasil pula dengan skrip drama pentas; Badai Meniti Senja sekaligus terbabit sebagai pengarah keseluruhan (overall director) ketika menjayakan pementasan “Malam Minggu Perpaduan” atau “Solidarity Week”.
            Empat tahun kemudian, Mokhtar Mimi berpindah ke Pahang. Bakat penulisaan yang terpupuk di Sabah dilebarkan pula ketika menganggotai Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP). Di sini beliau berjaya menggabungkan empat kuntum puisinya bersama-sama karya penulis Pahang dalam sebuah antologi berjudul Suara dan Bicara (1973). Manakala puisinya; Tak Ke Mana terpilih menghiasi buku cenderamata “Malam Usik-Mengusik” anjuran DPMP.  Semasa di Temerloh, Mokhtar Mimi berhasil menulis drama pentas Surat Dari Perbatasan di samping mengarah drama Yang Pulang karya Mohd. Isa sempena Hari Wanita yang dipentaskan di Dewan Majlis Bandaran. Sewaktu di Kuantan pula, beliau bergiat menulis bersama-sama rakan penulis seperti Badarudin M Z , Tengku Aliyuddin (kini: Dato’) dan Smad Malaya.
            Apabila bertugas di Sarawak, Mokhtar Mimi sempat menghasilkan skrip drama Merah Bersemi Di Hujung Jari sekaligus sebagai pengarah (1975). Pada tahun 1976 menghasilkan Hatinya Kasihnya Kembara Jauh tetapi tidak sempat dipentaskan meskipun ada rancangan awal untuk mementaskannya di Kuching. Sekembainya ke Semenanjung, Mokhtar ditempatkan di Kor Jurutera Elektrik dan Jentera, Taiping dan sebelum bersara pada tahun 1981 dengan pangkat Sarjan.
            Semenjak tahun 1976 dia semacam pamit daripada alam penulisan. Namun apabila Mokhtar Mimi menjalani penghidupan sebagai seorang pesara sekalgus pengusaha restoran, minatnya untuk menulis timbul kembali. Pada tahun 1983 bersama-sama rakan penulis seperti Bahar Suhardi, Yus Saadon, Zain A R, Ros M Y dan saya berjaya menubuhkan Grupemuisi Sitiawan.
            Melalui grup inilah Mokhtar Mimi menjuruskan penulisan sajak semata-mata. Sajak-sajak yang kebanyakannya bertemakan kemanusiaan dan alam banyak tersiar di serata akhbar dan majalah tempatan seperti Dewan Sastera, Mastika, Al Islam, Sinar Zaman, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Utusan Zaman, Mingguan Wanita, Mingguan Famili, Mingguan Perdana, Nona, Jelita dan sebagainya. Apabila grup ini dibubarkan pada tahun 1986 bagi memberi laluan penubuhan Persatuan Penulis Daerah Manjung (PEDOMAN), Mokhtar Mimi terbabit bersama-sama Mustapha Mat Ani (mantan Wartawan Utusan Malaysia Manjung), saya, Bahar Suhardi dan Ros M Y bersusah-payah menyediakan perlembagaan serta jawatankuasa penaja selama beberapa bulan dan dia kemudiannya dilantik dalam mesyuarat agung pertama PEDOMAN sebagai Ketua Satu hinggalah pada tahun 1990-an. (Setelah saya bertukar ke Teluk Intan pada tahun 1989, kegiatan PEDOMAN tidak lagi rancak. Beberapa tahun kemudiannya saya dimaklumkan bahawa badan penulis tersebut telah dibatalkan pendaftarannya oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan).
            Selaku Ketua Satu PEDOMAN, Mokhtar Mimi secara automatik menduduki Jawatankuasa Induk  Ikatan Persatuan Penulis Perak (IPPP) kerana PEDOMAN bergabung dalam badan tersebut. Ini secara tidak langsung melebarkan kegiatan sastera dan penulisan Mokhtar Mimi di Perak.  Pembabitan yang  cergas ini telah menarik perhatian masyarakat tempatan khususnya di daerah Manjung dan “menyorong” Mokhtar supaya aktif di bidang lain selain penulisan.
            Hakikatnya, Mokhtar mula bergiat dalam banyak kegiatan. Misalnya pada tahun 1986 dilantik menjadi Naib Pengerusi Penaja Persatuan Pengkaji dan Peminat Sejarah Daerah Manjung, Naib Pengerusi II Majlis Kebudayaan Daerah Manjung serta terpilih sebagai Ketua UMNO Cawangan Kg. Telaga Nenas. Pada tahun 1989 pula Mokhtar dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Lumut.
            Dia juga terbabit memberikan ceramah penulisan di sekolah, badan-badan penulis serta untuk beberapa tahun semenjak tahun 1987 menjadi pengadil Pertandingan Drama Antara Sekolah-sekolah Daerah Manjung anjuran TV3 di samping hakim Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan anjuran Jabatan Penerangan saban tahun.
            Dalam kesibukan tugas-tugas kemasyarakatan itu, Mokhtar sempat menghasilkan sejumlah 100 kuntum puisi yang tersiar di media cetak. Sebahagian puisinya termuat dalam antologi; Beruas Dalam Puisi (1986) terbitan PEDOMAN dan Bacaria, Bunga Gerimis (1986-Fajar Bakti) dan Mengenang-Mu (1989-DBP). Kemuncak segala kejayaan yang diperolehinya ialah pengiktirafan Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan apabila beliau dinobatkan sebagai “Penyair Darul Ridzuan” (1987) dengan menerima watikah, cenderamata dan wang tunai RM 500.00.
            Namun semenjak menerima anugerah tersebut, Mokhtar semacam pamit dari alam penulisan. Dia kurang menumpukan perhatian dalam penciptaan karya, sebaliknya menalih selera kepada pembangunan kampung dan masyarakat desa kelahirannya. Berkat usaha yang tidak jemu-jemu membangunkan Telaga Nenas – 40 km dari Sitiawan, pada tahun 1992 kampung tersebut terpilih sebagai Kampung Terbaik dan Terbersih peringkat daerah Manjung dan tempat kedua peringkat Negeri Perak. Menerusi wang peruntukan kemenangan, Mokhtar membina dua buah chalet  di pinggir Sungai Dinding  berhampiran kampungnya dengan diberi nama “Melan Village Resort”.
            Pembinaan chalet ini bertujuan untuk menarik lebih ramai pelancong mengunjungi Sungai Dinding yang mengalir lesu serta menyembunyikan banyak artifak sejarah dan panorama alam semula jadi yang mengasyikkan. Di sepanjang tebig Sungai Dinding ini menyimpan banyak pahit getir sejarah silam. Antaranya Kota Raja Hitam dan Kota Siam, Keramat Telaga Tujuh serta tapak Kerajaan Melayu Manjung pada abad ke 16.
            Mokhtar yang memakai nama pena “Mimi’ ini kebetulan mengambil sempena nama bahagian tempat mula dia bekerja dalam Angkatan Tentera Malaysia iaitu EME (Electrical and Mechanical Engineering) dalam arena penulisan semacam sudah bersara. Sajaknya; Moga-moga (Al Islam 1985: September) memperlihatkan benih-benih persaraan itu:

            …sebelum penentuan ini Ya Allah
            terimalah permohonan
            makhluk-Mu
            yang bernama seorang aku
            masuk ke dalam negeri
            taubat-Mu
            melalui pintu yang sentiasa
            terbuka.

            Jelas, Mokhtar Mimi membayangkan dia seakan-akan mahu mengabdikan diri kepada Allah Azawajalla secara lebih intim. Apakah dia sudah menemui jalan kudus itu seolah-olah melupakan pula dunianya – berpuisi? Namun apa juga keberangkalian, ketrampilan Mokhtar dalam banyak bidang memang diakui ramai, lebih-lebih lagi masyarakat di daerahnya – Manjung, kerana pencapaian itulah pada 19 April 1993 beliau dianugerahkan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) oleh Sultan Perak sebagai mengenang jasa-jasanya. Mokhtar telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Seri Manjung, Perak pada 25 Mac 2008- Al-fatihah

Rujukan:
Khairul Anuar Mokhtar 1993. “Mokhtar Kecewa digelar Penyair Bermusim” (Berita Minggu, April 25 hlm. 22)
Tarik Pelancong Saksikan Keindahan Sungai Dinding 1993 (Utusan Malaysia, Mei 28 hlm. 4
Zabinis BM 1986. “Pedoman Lahir Bertunjangkan Semua Kaum” (Mingguan Perdana, April 25 hlm.13)
Zabidin Haji  Ismail 1986. “Mokhtar Cari Ilham Sambil Layan Pelanggan” (Berita Harian, Mac 6 hlm.9 )
_______1993. “Mokhtar Mimi Penyair Bermusim” (Berita Minggu, Januari 10 hlm. 22)
_______1993. “Mokhtar Penyair Darul Ridzuan” (Utusan Malaysia, Dis. 26 hlm. 24
_______1993. “Mokhtar Mimi” (Sinar Zaman, Nov-Dis. Hlm. 12-13)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...