Saturday, 28 May 2011

RAMLI DAUD: Sasterawan FELDA yang saya kenali


 Oleh Zabidin Hj Ismail

Pengenalan

Sasterawan  Felda tidak ramai di negara ini. Malahan ungkapan “Sasterawan Felda” itu sendiri tidak dikenali ramai meskipun cuba di  sinonimkan dengan pengarang atau penulis dari kalangan yang berkaitan dengan FELDA.

          Istilah “sasterawan” secara umumnya diertikan sebagai seseorang yang kerjanya menghasilkan karya sastera dan mutu karyanya telah mencapai satu tahap yang mendapat pengiktirafan masyarakat.  Manakala arkonim FELDA ialah Federal Land Development  Autority  yang dahulunya dinamakan sebagai Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP).

          FELDA merupakan sebuah skim kerajaan dalam memajukan hutan belantara untuk dijadikan penempatan dan kawasan pertanian berskala besar dengan tanaman komoditi utama negara seperti getah dan kelapa sawit. Melalui skim ini puluhan ribu peneroka yang berasal dari kampung tradisional ditempatkan di sesuatu rancangan tanah dan transformasi ini dijalankan semenjak awal tahun 60-an.

          Sehubungan itu mucullah beberapa kawasan FELDA di negara ini dan antara yang terkenal ialah Ulu Tiram, Kulai, Johor dan Sungai Klah, Sungkai, Perak.

          Dalam memperkatakan ‘sasterawan FELDA” ini, Ulu Tiram dan Sungai Klah terkenal dengan lokasi skim tanah rancangan yang telah wujud semenjak tahun 60-an agak sinonim pula dengan kelahiran para penulis sastera yang menghuninya. Umpamanya Dr Talib Samat dan Gunawan Mahmod berasal dari Felda Ulu Tiram, Kulai manakala Ramli Daud pula bermastautin di Felda Sungai Klah.

          Hakikatnya, sasterawan FELDA itu adalah mereka yang dikesani cuma tiga orang sahaja. Dan yang sering menggunakan istilah “sasterawan FELDA” itu adalah Dr Talib Samat sendiri. Sama ada masyarakat mengiktiraf mereka sebagai “sasterawan FELDA” atau sebaliknya terpulang kepada persekitaran dan khalayak sastera.

          Sesuatu istilah itu yang kerap diguna-pakai oleh penuturnya akan menjadi popular dan kemudiannya diterima oleh masyarakat sekaligus beroleh pengiktirafan massa secara evolusi. Hanya masa akan menentukan dan jikakalau masa akan datang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)  mengiktiraf istilah ini, maka Dr Talib Samat layak digelar sebagai penciptanya!

Ramli Daud Sasterawan FELDA

          Anak kelahiran Kampung Batu Hitam, Kampong Gajah, Perak ini sebelum meneroka rancangan tanah Felda Sg. Klah pada tahun 1968 adalah seorang pemberita sambilan Utusan Melayu yang amat rajin mengirimkan berita tempatan ke akhbar tersebut. Peristiwa dan cerita di Kampong Gajah  diolah  dalam bentuk berita dan rencana untuk siaran akhbar.

          Ramli Daud dilahirkan pada tahun 1937 dan menerima pendidikan setakat darjah lima sekolah Melayu serta menyambung pelajaran di Sekolah Agama Rakyat di Kampong Gajah selama beberapa tahun. Namun begitu beliau menyedari bahawa dirinya memiliki bakat menulis lantas selepas sekolah, Ramli terus menceburkan diri dalam dunia penulisan dan kewartawanan.

          Pusat Akhbar Asia Tenggara di Kuala Lumpur telah memberikan ilmu kewartawanan kepadanya pada tahun 1967. Semenjak itu beliau mempunyai keyakinan diri untuk menulis dan menghantar karya ke penerbitan lain seperti Warta Negara.

          Sebenarnya beliau mula menulis pada pertengahan tahun 50-an di majalah Pedoman Kanak-kanak  dan akhbar Utusan Kanak-kanak terbitan Utusan Melayu Singapura. Cerpen pertamanya bertajuk Mari Dengar Cerita tersiar dalam Utusan Kanak-kanak. Manakala cerpen dewasanya berjudul Ke Bintang Mana (Majalah Fesyen; 1960) dengan menggunakan nama pena; Indera Sakti.

          Ramli selain menggunakan Indera Sakti dalam penulisan cerpen, kadang-kala memakai nama pena lain iaitu R. Pahri untuk penerbitan seperti Berita Minggu, Utusan Zaman, Mingguan Malaysia dan Mingguan Perdana. Beliau tidak prolifik dalam menghasilkan  cerpen kerana sepanjang tahun 1980-an hingga 1990-an hanya 14 buah sahaja yang disiarkan oleh penerbitan berkenaan.

          Selain cerpen,  beliau juga menulis sajak yang pernah tersiar di Berita Perak sekitar tahun 1990-an tetapi berbanding cerpen yang ada kekuatan, sebaliknya sajak-sajak yang dihasilkan berbentuk prosaik yang kurang berkesan.

          Ramli Daud tidak menulis sepenuh masa. Semenjak meninggalkan kampung halaman dan berpindah ke Felda Sg Klah, dia agak lama “berehat” daripada menulis dan memulakan semula menulis hanya pada tahun 1980-an.

          Walaunpun tidak selalu menulis tetapi Ramli Daud memiliki kekuatan tersendiri dalam mengarang cerpen. Buktinya, Tandan Tua (Berita Minggu; 20 Febuari 1982) memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982-1983 yang sekaligus menempatkan cerpen itu dalam antologi Sahabat (DBP, 1984) yang mencatatkan nama Ramli Daud di persada sastera Negara.

          Cerpen Tandan Tua adalah yang pertama dihantarnya ke Berita Minggu setelah “berehat” selama sepuluh tahun. Kreativiti Ramli terserlah dalam kepandaiannya melukiskan pengalaman dan persekitaran secara “hidup” dan bersahaja sebagaimana yang diolahnya dalam Tandan Tua.

          Kekuatan inilah yang membawa Ramli mengondol banyak hadiah cerpen seperti Hadiah Sagu Hati Anugerah Sastera Perak Darul Ridzuan 1 (1985) dan Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank (1995). Kekuatan yang dimaksudkan itu seperti ulasan Dr Talib Samat dalam menilai antologi  Pelanggaran Mimpi (Karyawan Pk; 2008) berbunyi begini;

     “Keistimewaan cerpen-cerpen Ramli Daud terletak pada latar masyarakat Felda, gaya bahasa tersendiri yang menerapkan dialek Perak dan ketelusan watak-wataknya mengucapkan isu-isu seharian masyarakat Melayu dengan jujur, berterus-terang dan sinis tetapi berhemah.”



          Setakat ini beliau mempunyai dua buah antologi cerpen perseorangan iaitu Melarik Waktu (DBP; 2001) dan Pelanggaran Mimpi yang mengumpulkan sebanyak 38 buah cerpen yang dihasilkan sepanjang hayat kepengarangannya. Selain cerpen, beliau juga menukangi novel dan terhasil sebanyak dua buah iaitu Titis-titis Mutiara Kasih  dan Hujan Rindu  kedua-duanya terbitan Rhythm Publications, Pulau Pinang.

Kegiatan dalam badan penulis

Ramli Daud meskipun sudah berusia 72 tahun (2009) tetapi tidak pula memencil diri sebaliknya rajin berpersatuan. Dia menyertai Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) pada tahun 1996 dan kini sebagai Ahli Jawatankuasa bagi penggal 2008-2010 di samping dilantik sebagai Ketua Sudut Karyawan Pk, Sungkai. Banyak ide bernas dilantarkannya semasa bermesyuarat semata-mata untuk kemajuan persatuan.

          Sebab itu Karyawan Pk mencalonkan beliau menerima anugerah Pingat Jasa Kebaktian (PJK) daripada Sultan Perak pada tahun 1996 bagi menghargai jasa bakti yang telah ditaburnya di arena kesusasteraan Melayu Moden tanah air.

Penutup

Ramli Daud sebutir permata di tanah rancangan Felda adalah layak digelar Sasterawan FELDA yang sepanjang hayat penulisannya banyak mengetengahkan kisah, getir kehidupan masyarakat Felda yang amat kurang diketahui ramai. Melalui karyanya terutama genre cerpen, FELDA muncul di persada sastera bangsa. Sesungguhnya, FELDA seharusnya berterima kasih kepada beliau!
Rujukan:

 

Ramli Daud 2008. Pelanggaran Mimpi. Ipoh: Karyawan Pk

Talib Samat (Dr.), 2002. Islam di antara percikan sastera dan budaya. Shah Alam: Karisma Publication

Yaarif Sulaiman, “Impian seorang wartawan lama” (Utusan Melayu, 30.12.1997 hlm. 26

__________

                Kertas Kerja  ini telah dibentangkan dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Felda Ke-2: Fokus Ramli Daud di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak pada 11 Oktober 2009 jam 11.00 pagi  yang dianjurkan oleh Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa UPSI dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) dan FELDA.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...