Friday, 6 May 2011

NORIAH MOHD SHARIF


Oleh Zabidin Hj Ismail

Noriah Mohd Sharif atau Noriah Sharif adalah anak kelahiran Kuala Kangsar  yang dianggap sebagai penulis wanita Perak yang kian cergas menyumbangkan karya baik dalam genre novel kanak-kanak, drama radio, televisyen mahupun cerpen dan puisi. Memulakan kerjaya penulisannya pada sekitar tahun tujuh puluhan tetapi menyerlah pada tahun lapan puluhan. Sungguhpun beliau pernah menerima didikan penulisan seni kreatif di Universiti Sanis Malaysia sesi 1984 / 85, namun pencarian jatidiri masih dalam proses pematangan.

            Setakat ini Noriah telah menghasilkan hampir seratus naskhah skrip drama radio yang kebanyakannya disiarkan di Radio Perak. Drama pertamanya tersiar berjudul  Ke Pangkal Jalan terbitan Adibah N Y Affandi awal tahun tujuh puluhan.  Kemudian Noriah banyak menyumbangkan karya ke Radio Pulau Pinang dan Radio Kuala Lumpur khususnya untuk rancangan berbentuk drama seperti Enjit-enjit Semut (drama kanak-kanak), Sejambak Budi dan Titian Remaja.
 
Meskipun memperolehi “breakthrough” dalam penulisan skrip drama radio tetapi skrip drama televisyen yang membawanya ke mercu kejayaan. Hasil  bimbingan Rosminah Mohd Tahir, Matahari Abdul Rahman dan Mana Sikana Noriah berjaya dalam penulisan skrip drama Tv sekaligus  pernah menggondol hadiah sagu hati dalam Peraduan Menulis Skrip Drama TV Berdasarkan Cerpen anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1990 berjudul Air Ditetak Tak Akan Putus.

            Ketika menyingkap tabir sejarah dunia penulisan yang diceburinya, penghasilan skrip drama radio bukanlah titik permulaan proses kepengarangan Noriah, sebaliknya bermula dengan genre rencana. Ini bermula selepas beliau menamatkan  persekolahan menengah, kemudian mendapat bimbingan menulis rencana dan berita daripada wartawan Utusan Malaysia Kuala Kangsar, Hashim P. Mamat. Hasil bimbingan ini, Noriah berjaya menghasilkan rencana yang pertama kali mendapat siaran di majalah Alam Wanita berjudul Sehari di Kuala Kangsar  di sekitar tahun tujuh puluhan. Setelah itu, rancana-rencananya mendapat tempat di akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Perdana serta majalah Balai Muhibah (Jabatan Perpaduan Negara), Sinar Zaman (Jabatan Penerangan) dan Jelita (Berita Publishing). Di samping itu cerpen dan sajak Noriah kerap juga tersiar dalam Mingguan Malaysia dan Berita Perak.

            Berkat kesungguhan menulis rencana, pada tahun 1985  Noriah dilantik sebagai Pemberita Sambilan Berita Harian, Kuala Kangsar. Kerjaya ini tidak lama disandangnya lantaran mendirikan rumah tangga pada tahun 1987. Sewaktu menjadi suri rumah sepenuh masa, beliau terus mengarang dan hasilnya Noriah berjaya memenangi beberapa hadiah dalam sayembara penulisan di negeri Perak dan peringkat nasional. 

Antaranya Menulis Cerpen Darul Ridzuan I 1985 anjuran Ikatan Persatuan Penulis Perak (IPPP) berjudul Cinta Di Musim Bunga; Menulis Cerita Kanak-kanak Bergambar 1989 anjuran Bahagian Hal Ehwal Agama Islam (BAHEIS), Jabatan Perdana Menteri bertajuk Nakal; dan Menulis Cerpen 1990 anjuran Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS) iaitu Pelari Senja. Beberapa cerpen yang menang ini telah dimuatkan dalam antologi; Meraih Mimpi (DBP:1989) dan Di Pelabuhan Senja (DBP: 1993).

Cerpen Noriah; Cinta Di Musim Bunga memaparkan persoalan cinta antara dua insane yang berlainan agama tetapi dapat disatukan atas jalinan perkahwinan. Lau Kim Keng memakai nama Naemah apabila memeluk  Islam dan berkahwin dengan Herdy. Iman Naemah tetap kukuh walaupun ibu bapanya sedaya upaya memujuknya kembali ke pangkuan agama Buddha sesudah kematian Herdy. Bagi Naemah cintanya terhadap Islam tidak boleh dijual beli (Badarul Sham 2001: 38). 

            Noriah yang kadangkala memakai nama pena Muhainur, S Norjini Anas dan Mimi Sofia juga cergas dalam badan penulis, perkumpulan wanita dan pertubuhan sosial  tempatan, misalnya menganggotai LEPAS dan pernah dilantik sebagai Pengerusi  Sesi Penerbitan lantas berpeluang mengendalikan buletin tahunan; Suara LEPAS (1993), Ahli Jawatankuasa Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk – 1994-1998), pasukan St. John Brigade Malaysia dan anggota pertubuhan Belia 4B Kuala Kangsar.

            Menyentuh tentang alam rumah tangga dan dunia penulisan, Noriah berpendapat bahawa;

“dorongan dan rangsangan suami adalah faktor utama menentukan kejayaan seseorang isteri. Dalam hal ini saya berterima kasih kepada suami saya, Encik Shaharudin Mohd. Nasir kerana banyak memberi dorongan kepada saya supaya terus berkarya. Ramai penulis wanita apabila berumah tangga gagal meneruskan kecermelangan di alam penulisan kerana faktor itu” ( Surat Persendirian: 14 Oktober 1993)

            Namun Noriah membuktikan bahawa rumah tangga bukanlah kekangan utama dalam mengejar cita-cita sebagai seorang penulis yang berjaya. Justeru kejayaan Noriah sedikit-sebanyak dapat mengubati “penyakit” kegersangan penulis wanita ketika ini di negeri Perak Darul Ridzuan.- (Utusan Malaysia, 19 November 1994)

Rujukan:

Badarul Sham Mohd. Nor 2001. “Sejarah Perkembangan Cerpen Negeri Perak”. Latihan Ilmiah B.A Hons Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia;
Noriah Mohd Sharif  1993 (Surat Persendirian : Oktober  14)
Zabidin Hj Ismail 1994. “Noriah Sharif Penulis Cergas Perak” (Utusan Malaysia, November 19 hlm.20);

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...